Gigi Jarang (Diastema) : Punca, Tanda & Rawatan (LENGKAP)
Gigi jarang (diastema) ialah ruang antara gigi yang masih ada, paling kerap di antara dua gigi depan atas. Pada kanak-kanak bawah 12 tahun, ia selalunya normal dan boleh rapat sendiri. Pada orang dewasa, ruang tak akan rapat sendiri dan ruang yang baru muncul atau makin lebar perlu diperiksa kerana ia boleh jadi tanda penyakit gusi.
- 97% kanak-kanak umur 6 tahun ada ruang di antara gigi depan atas. Pada umur 10 tahun, angka ini turun ke 48.7%, dan pada umur 14 tahun tinggal 7.4%
- Ruang 2 mm atau kurang pada kanak-kanak biasanya rapat sendiri selepas gigi taring kekal tumbuh, asalkan gigitan tak terlalu dalam (deep bite)
- 94.5% orang dewasa Malaysia ada masalah pada gusi dan tisu sokongan gigi, dan 38.2% ada periodontitis — penyakit gusi tahap yang merosakkan tulang
- 30%–56% pesakit penyakit gusi mengalami gigi berganjak dari kedudukan asal — salah satu punca gigi dewasa “tiba-tiba” jadi jarang
- Sekitar 6.3% orang di Asia dilahirkan tanpa satu atau lebih gigi kekal (hipodontia, tidak termasuk gigi bongsu). Insisor lateral atas antara yang paling kerap tiada
- Rapatkan gigi sendiri guna getah boleh buat getah tu menyelinap ke bawah gusi. Dalam satu kes yang dilaporkan, seorang budak 8 tahun hilang lebih 75% tulang sokongan dan akhirnya kehilangan dua gigi depan
- Pasang braces tanpa lesen ialah kesalahan. Pada 31 Mac 2026, seorang wanita di Puchong Prima didenda RM100,000 kerana pasang braces tanpa pendaftaran
Tentang Gigi Jarang Yang Biasa Kami Terima
Setiap minggu, ada dua jenis soalan tentang gigi jarang yang sampai ke kerusi rawatan saya. Bunyinya hampir sama, tapi maksudnya sangat berbeza.
Yang pertama selalunya datang daripada ibu atau ayah: “Doktor, gigi depan anak saya jarang. Umur dia 8 tahun. Kena pasang braces sekarang ke?”
Yang kedua datang daripada orang dewasa, selalunya umur 35 ke atas:
“Doktor, dulu gigi saya rapat. Sekarang ada celah, makin lama makin besar. Kenapa?”
Soalan pertama, dalam kebanyakan kes, jawapannya “belum perlu — mari kita pantau”. Soalan kedua pula saya tak akan jawab sebelum periksa gusi dan ambil sinar-X, sebab ruang yang baru muncul pada orang dewasa boleh jadi tanda awal penyakit gusi.
Sebab itu artikel ini saya susun ikut lima soalan yang saya sendiri tanya semasa pemeriksaan:
- Apa sebenarnya ruang ni?
- Adakah ia stabil atau makin teruk?
- Umur pesakit berapa? Apa puncanya?
- Apa pilihan yang paling sesuai untuk dia?
Memahami Gigi Jarang (Diastema) Beza Dengan Rongak & Jongang
Gigi jarang ialah keadaan bila ada ruang di antara dua atau lebih gigi yang masih ada. Istilah klinikalnya diastema. Dalam bahasa Inggeris, orang panggil gap teeth atau diastema.

Ruang paling biasa berlaku di antara dua gigi depan atas — dipanggil diastema median atau midline diastema. Ada juga orang yang ada ruang di banyak tempat sekali gus (generalised spacing), termasuk gigi bawah.
Orang kita selalu guna tiga perkataan ini secara bertukar-ganti, padahal maksudnya lain:
| Istilah | Maksud | Contoh | Info Lain |
|---|---|---|---|
| Gigi jarang | Ada ruang antara gigi, tapi semua gigi masih ada | Celah di tengah dua gigi depan | Gigi Jarang |
| Gigi rongak | Ada ruang sebab gigi tanggal atau hilang. Kamus Dewan: “ada yg tanggal atau hilang (gigi…), rumpang” | Gigi depan patah atau dicabut | Gigi Rongak |
| Gigi jongang | Gigi atas terkedepan melebihi gigi bawah | “Gigi arnab” | Gigi Jongang |
Kenapa beza ini penting? Sebab rawatannya lain. Gigi jarang boleh dirapatkan dengan menggerakkan gigi atau menambah bahan pada gigi. Gigi rongak pula perlukan gigi ganti. Kalau istilah salah, jangkaan pun salah.
Ringkasnya: Gigi jarang = ruang antara gigi yang masih ada. Rongak = ruang sebab gigi hilang.
Gigi jarang ikut umur: bila normal, bila perlu risau?
Ini bahagian yang paling ramai ibu bapa perlukan. Jawapan untuk “gigi jarang normal ke?” bergantung pada umur.
| Umur | Apa yang biasanya berlaku | Normal? | Apa saya cadangkan |
|---|---|---|---|
| 2–6 tahun (gigi susu) | Ruang antara gigi susu | Ya, malah bagus. Ruang ini beri tempat untuk gigi kekal yang saiznya lebih besar | Pemeriksaan rutin. Kalau gigi susu terlalu rapat, itu yang lebih perlu diperhatikan |
| 6–10 tahun | Gigi depan kekal tumbuh dengan ruang di tengah, kadang-kadang condong ke luar macam kipas. Doktor gigi panggil fasa ini “ugly duckling stage” | Ya, dalam kebanyakan kes. 97% pada umur 6, 48.7% pada umur 10. | Pantau. Ambil sinar-X kalau ruang lebih 2 mm, atau ada gigi yang lambat tumbuh |
| 11–13 tahun | Gigi taring kekal tumbuh dan menolak gigi depan ke tengah | Ruang ≤2 mm biasanya rapat sendiri. | Nilai semula selepas taring tumbuh |
| 14 tahun ke atas | Hanya 7.4% masih ada ruang tengah [1] | Kalau masih ada, tak akan rapat sendiri | Boleh rancang rawatan kalau mengganggu |
| Dewasa. ruang dah lama & stabil | Ruang sama saiz bertahun-tahun, gusi sihat | Bukan penyakit. Lebih kepada pilihan estetik | Rawat hanya jika anda mahu |
| Dewasa. ruang baru / makin lebar | Dulu rapat, sekarang ada celah | Tidak. Perlu diperiksa | Periksa gusi & tulang sebelum sebarang rawatan kosmetik |
Untuk ibu bapa yang nak faham beza gigi susu dan kekal dengan lebih mendalam, saya dah terangkan di panduan beza gigi susu dan gigi kekal.
Ringkasnya: Pada anak, gigi jarang selalunya fasa biasa. Pada dewasa, soalan penting bukan “ada ruang ke tak”, tapi “ruang ini baru ke dah lama?”

8 punca gigi jarang yang kami alami
1. Saiz gigi kecil berbanding rahang
Apa berlaku: Gigi normal, tapi saiznya lebih kecil daripada ruang rahang. Hasilnya, gigi “tak cukup” untuk penuhkan lengkung. Petunjuk: Ruang di banyak tempat, gusi sihat, ruang stabil. Selalunya ada ahli keluarga yang sama.
2. Gigi sisi berbentuk pasak (peg lateral)
Apa berlaku: Gigi insisor lateral atas (sebelah gigi depan) tumbuh kecil dan tirus macam pasak.
Berapa biasa: Kajian meta-analisis anggarkan sekitar 1.8% populasi.
Petunjuk: Ruang di sebelah gigi yang nampak “kecil”.
3. Gigi kekal tak pernah tumbuh (hipodontia)
Apa berlaku: Gigi kekal memang tiada dalam tulang sejak awal.
Berapa biasa: 6.3% di Asia, 6.4% global, lebih kerap pada perempuan.
Petunjuk: Gigi susu yang tak tanggal-tanggal pada umur remaja, atau ruang yang tak rapat. Sinar-X diperlukan untuk sahkan.
4. Gigi berlebihan di tengah (mesiodens) atau gigi susu tertahan
Apa berlaku: Ada gigi tambahan tersembunyi dalam tulang di antara dua gigi depan, menghalang gigi depan bergerak rapat.
Petunjuk: Ruang tengah yang lebar pada kanak-kanak, atau gigi depan yang lambat tumbuh. Hanya boleh dikesan melalui sinar-X.
5. Frenum bibir atas yang tebal atau rendah
Apa berlaku: Frenum ialah lipatan tisu yang menyambung bibir atas ke gusi. Kalau ia tebal dan melekat rendah, ia boleh jadi salah satu faktor ruang tengah tapi kajian menunjukkan ia lebih kerap jadi faktor sampingan, bukan punca utama.
Petunjuk: Saya tarik bibir atas perlahan-lahan. Kalau gusi di belakang gigi depan jadi pucat (blanch test), frenum mungkin terlibat.
6. Tabiat: hisap jari, gigit bibir, lidah menolak gigi
Apa berlaku: Tekanan berulang setiap hari menolak gigi depan ke luar. Contohnya hisap ibu jari yang berlarutan, atau lidah yang menolak ke depan setiap kali menelan (tongue thrust).
Petunjuk: Gigi depan atas condong ke depan dengan ruang, kadang-kadang gigitan depan tak bertemu.
7. Penyakit gusi yang menyebabkan gigi berganjak ⚠️
Apa berlaku: Bila tulang sokongan gigi rosak akibat periodontitis, gigi hilang “sauh”. Tekanan dari lidah, bibir dan gigitan perlahan-lahan menolak gigi keluar dari kedudukan asal. Istilah klinikalnya pathologic tooth migration.
Berapa biasa: 30%–56% pesakit penyakit gusi mengalaminya Dengan 38.2% dewasa Malaysia ada periodontitis, ini bukan masalah terpencil.
Petunjuk: Ruang baru pada umur dewasa, gigi depan mula condong seperti kipas, gusi berdarah bila gosok gigi, gigi rasa “panjang” atau goyang.
Inilah punca yang paling saya risaukan, sebab kalau ruang dirapatkan tanpa rawat gusi dulu, masalah asal masih berjalan. Baca lanjut tentang penyakit gusi.
8. Gigi tanggal di sebelah
Apa berlaku: Bila satu gigi dicabut dan tak diganti, gigi jiran condong dan bergerak ke ruang kosong, lalu membuka ruang baru di tempat lain. Petunjuk: Ada sejarah cabut gigi. Untuk ruang akibat gigi hilang, rujuk panduan gigi rongak.
Punca yang jarang tetapi penting: sista atau ketumbuhan kecil di antara gigi depan juga boleh menolak gigi berjauhan [1]. Sebab itu saya tak rawat ruang tengah yang lebar tanpa sinar-X.
Ringkasnya: Pada kanak-kanak dan remaja, punca selalunya berkaitan saiz, bilangan gigi atau tabiat. Pada dewasa yang ruangnya baru muncul, punca pertama yang mesti disingkirkan ialah penyakit gusi.
Tanda-tanda gigi jarang yang perlu diperhatikan
Tanda biasa (selalunya tak berbahaya):
- Rasa kurang yakin untuk senyum lebar
- Bunyi “s” sedikit berdesis bagi sesetengah orang
- Ruang yang kelihatan bila senyum atau dalam gambar
- Makanan senang tersangkut contohnya serat daging satay atau sayur
Tanda berbahaya (selalunya berbahaya) :
- Ruang baru muncul pada umur dewasa
- Ruang makin lebar dalam beberapa bulan
- Gusi berdarah atau bengkak di kawasan ruang
- Gigi depan mula condong ke depan seperti kipas
- Gigi rasa goyang, atau nampak lebih panjang (gusi menurun)
- Ada nanah, bau mulut berterusan, atau sakit bila menggigit
- Kanak-kanak: gigi depan kekal tak tumbuh lebih 6 bulan selepas gigi susu tanggal
Ringkasnya: Satu ruang sahaja bukan kecemasan. Ruang yang berubah — itu isyarat.
Kalau dibiarkan, apa sebenarnya akan berlaku?
Saya nak jujur di sini, sebab banyak iklan di media sosial buat gigi jarang nampak macam kecemasan. Ia bergantung pada punca:
Kalau ruang tu stabil, gusi sihat, dan anda selesa dengan senyuman anda, tak ada bukti ia mesti dirawat.
Ramai orang hidup dengan gigi jarang sepanjang hayat tanpa masalah kesihatan. Keputusan untuk rawat dalam situasi ini ialah keputusan estetik anda sendiri, bukan keperluan perubatan.
Tapi ada tiga situasi di mana membiarkannya ada kesan sebenar:
- Kalau puncanya penyakit gusi — penyakit itu yang bahaya, bukan ruangnya. Periodontitis yang tak dirawat boleh menyebabkan gigi goyang dan akhirnya tanggal. Ruang yang makin lebar ialah petunjuk luar bagi kerosakan tulang di dalam [2].
- Kalau makanan selalu tersangkut — sisa makanan yang tertinggal menyebabkan plak terkumpul, gusi meradang dan risiko gigi berlubang pada permukaan sisi gigi meningkat.
- Kalau ia menjejaskan keyakinan diri — terutamanya remaja. Ini alasan yang sah untuk mendapatkan rawatan, dengan syarat rawatan tu dibuat dengan selamat dan oleh pengamal berdaftar.
Ringkasnya: Gigi jarang yang stabil bukan penyakit. Gigi jarang yang baru, makin lebar atau disertai gusi berdarah, itu yang perlu dirawat punca asalnya.
Macam mana doktor gigi menilai gigi jarang?
Semasa temujanji pertama di Klinik Pergigian Aesira, ini yang saya buat — dan saya sarankan anda harapkan perkara yang sama di mana-mana klinik:
- Sejarah: Sejak bila ada ruang? Makin besar? Ada tabiat tertentu? Ada ahli keluarga yang sama? Ada sejarah cabut gigi atau kemalangan?
- Pemeriksaan gusi: Saya ukur poket gusi dan periksa pendarahan. Ini langkah yang tak boleh dilangkau untuk orang dewasa.
- Sinar-X: Untuk lihat paras tulang, akar gigi, gigi yang belum tumbuh, mesiodens atau sista.
- Ukur ruang & gigitan: Berapa mm? Adakah gigitan terlalu dalam? Gigi atas terlalu ke depan?
- Frenum: Blanch test seperti yang saya terangkan di atas.
- Perbincangan pilihan: Saya terangkan semua pilihan yang sesuai — termasuk pilihan untuk tak buat apa-apa — berserta kelebihan, kekurangan dan anggaran tempoh.
Ketelusan: Saya doktor gigi am yang memberi tumpuan kepada rawatan ortodontik, pergigian kanak-kanak dan estetik.
Saya bukan pakar ortodontik berdaftar dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR). Kes yang melibatkan masalah rahang (skeletal), gigi terbenam yang kompleks atau penyakit gusi tahap teruk akan saya rujuk kepada pakar yang berkaitan.

Pilihan rawatan gigi jarang : perbandingan jujur
Tiada satu rawatan “terbaik” untuk semua orang. Pilihan bergantung pada punca, saiz ruang, keadaan gusi, gigitan dan keutamaan anda.

| Pilihan | Macam mana ia berfungsi | Sesuai untuk | Perlu kikis enamel? | Anggaran tempoh | Perkara perlu tahu |
|---|---|---|---|---|---|
| Pantau sahaja | Tunggu perkembangan semula jadi | Kanak-kanak, ruang ≤2 mm, tiada punca lain | Tidak | Hingga taring kekal tumbuh | Perlu semakan berkala |
| Rawat gusi dulu | Pembersihan & scaling, pembersihan akar, kawalan plak | Semua kes dewasa yang ada penyakit gusi | Tidak | Beberapa minggu + penyelenggaraan | Wajib sebelum gerakkan gigi; ruang mungkin tak rapat dengan rawatan gusi sahaja |
| Tampalan komposit (bonding) | Tambah bahan sewarna gigi di tepi gigi untuk tutup ruang (tampal gigi) | Ruang kecil, gigi agak kecil, mahu hasil cepat | Selalunya tidak atau sangat minimum | Biasanya 1 sesi | Boleh berubah warna/sumbing, boleh dibaiki. Ruang besar akan buat gigi nampak terlalu lebar |
| Veneer porselin | Lapisan nipis porselin dilekatkan di depan gigi (veneer gigi) | Mahu ubah bentuk + warna sekali gus | Ya, sedikit (tak boleh diundur) | 2 sesi atau lebih | Kajian: 95.7% kekal selepas 5 tahun bila dilekat pada enamel. Tak sesuai untuk ruang besar |
| Braces | Gerakkan gigi ke kedudukan baru (pasang braces) | Banyak ruang, masalah gigitan, gigi condong | Tidak | Beberapa bulan hingga 2 tahun, bergantung kes | Satu-satunya pilihan yang betulkan kedudukan gigi & gigitan sebenar. Wajib retainer selepas |
| Clear aligner | Set dulang lutsinar yang ditukar berperingkat (clear aligner) | Ruang ringan–sederhana, dewasa yang disiplin | Tidak | Bergantung kes | Mesti dipakai kebanyakan masa sehari (lazimnya 20–22 jam). Tak pakai = tak bergerak |
| Frenektomi | Buang/ubah frenum (pembedahan gigi) | Hanya jika frenum terbukti terlibat | Tidak | 1 sesi | Lazimnya dibuat selepas ruang dirapatkan, bukan sebelum |
| Ganti gigi hilang | Bridge, implan atau gigi palsu (crown & bridge) | Ruang sebab gigi tanggal (rongak) | Bergantung pilihan | Berbeza-beza | Lihat panduan gigi rongak |
Tentang retainer, bahagian yang ramai terlepas pandang: Ruang di tengah gigi depan antara yang paling mudah terbuka semula selepas dirapatkan.
Sebab itu retainer, selalunya jenis dawai halus yang dilekat di belakang gigi, disyorkan untuk jangka panjang. Kalau ada yang kata “lepas braces dah tak perlu apa-apa”, itu tak tepat.
Tentang kos: Saya tak senaraikan harga di page ini sebab kos bergantung sepenuhnya pada pilihan rawatan dan keadaan gigi setiap orang. Maklumat rawatan dan kos ada di page rawatan masing-masing, dan anggaran bertulis akan diberi selepas pemeriksaan.
Ringkasnya: Rawat punca dulu, pilih kaedah ikut saiz ruang dan gigitan, dan rancang retainer dari hari pertama.
Mitos vs fakta tentang gigi jarang
| Mitos | Fakta |
|---|---|
| “Gigi jarang anak mesti pasang braces cepat-cepat.” | 97% kanak-kanak 6 tahun ada ruang tengah dan kebanyakannya rapat sendiri. Ruang ≤2 mm biasanya tertutup selepas taring kekal tumbuh [1]. Yang perlu ialah pemeriksaan, bukan semestinya braces. |
| “Tunggu je, nanti dewasa gigi rapat sendiri.” | Selepas remaja, ruang yang tinggal tak akan rapat sendiri. Pada dewasa, ruang boleh jadi makin lebar kalau ada penyakit gusi |
| “Boleh rapatkan sendiri pakai getah rambut atau gap band.” | Berbahaya. Getah boleh menyelinap ke bawah gusi tanpa disedari dan memusnahkan tulang. Dalam satu kes, budak 8 tahun kehilangan dua gigi depan |
| “Gigi jarang cuma masalah kosmetik.” | Separuh betul. Ruang yang stabil memang selalunya estetik. Tapi ruang baru pada dewasa boleh jadi tanda periodontitis, yang dialami 38.2% dewasa Malaysia |
| “Lepas scaling, gigi jadi jarang.” | Scaling tidak menggerakkan gigi. Karang gigi yang keras kadang-kadang “menampal” ruang yang dah wujud akibat penyakit gusi. Bila karang dibuang dan gusi yang bengkak mengecut, ruang asal tu jadi nampak. Scaling mendedahkan masalah, bukan menyebabkannya. |
| “Frenum mesti dipotong dulu baru gigi boleh rapat.” | Frenum lebih kerap faktor sampingan. Kalau perlu pun, frenektomi lazimnya dibuat selepas ruang dirapatkan |
| “Veneer penyelesaian terbaik untuk semua gigi jarang.” | Veneer sesuai untuk kes terpilih. Untuk ruang besar, gigi akan nampak terlalu lebar. Veneer juga perlukan pengikisan enamel yang kekal. |
| “Braces fesyen atau braces murah luar klinik pun sama.” | Tidak sama, dan menyalahi undang-undang. KKM senaraikan risiko termasuk gigi rosak, gusi berdarah, pergerakan gigi tak terkawal dan gigi goyang |
| “Lepas braces siap, dah tak perlu retainer.” | Ruang di tengah gigi depan sangat mudah terbuka semula. Retainer jangka panjang disyorkan |
Braces haram di Selangor & cara semak doktor gigi anda
Isu ini dekat dengan kita. Pada 31 Mac 2026, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mendenda seorang wanita berumur 25 tahun sebanyak RM100,000 selepas didapati mengendalikan klinik pergigian tanpa pendaftaran dan memasang braces di Puchong Prima, juga di Selangor.
Di bawah Akta Pergigian 2018 (Akta 804), yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2022, hukuman maksimum boleh mencecah RM300,000 dan/atau penjara 6 tahun.
Remaja dan pelajar di sekitar Kajang, Bangi dan Semenih antara kumpulan yang paling kerap ditawarkan “braces fesyen” melalui media sosial. Sebelum anda atau anak anda mula sebarang rawatan meluruskan gigi, semak tiga perkara ni:
- Nombor MDC doktor gigi — boleh disemak dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC). Contoh: nombor MDC saya ialah 13130.
- APC tahun semasa — Sijil Perakuan Amalan Tahunan yang mesti diperbaharui setiap tahun. APC saya: DS 01759/2026.
- Sijil pendaftaran klinik di bawah Akta 586 — patut dipamerkan di klinik.
Kalau seseorang memperkenalkan diri sebagai “pakar ortodontik”, dia sepatutnya ada nombor pendaftaran pakar (NSR) selain nombor MDC.
Soalan lazim tentang gigi jarang
- Gigi jarang dalam bahasa Inggeris dipanggil apa? Gigi jarang dipanggil gap teeth atau diastema. Kalau ruang tu di antara dua gigi depan atas, istilahnya midline diastema atau diastema median. Gigi rongak pula lebih tepat diterjemah sebagai missing tooth gap, sebab ia merujuk kepada ruang akibat gigi yang tanggal.
2. Anak saya 8 tahun, gigi depan jarang. Perlu pasang braces sekarang? Selalunya belum perlu. Pada umur 8 tahun, ruang di tengah gigi depan ialah fasa biasa yang dipanggil ugly duckling stage, dan hampir separuh kanak-kanak umur 10 tahun masih mengalaminya. Tapi bawa anak untuk pemeriksaan dan sinar-X jika ruang lebih 2 mm, ada gigi lambat tumbuh, atau anak masih menghisap jari.
- Umur berapa gigi jarang anak akan rapat sendiri? Kebanyakan ruang kecil (2 mm atau kurang) rapat sendiri bila gigi taring kekal atas tumbuh, lazimnya sekitar umur 11–13 tahun. Menjelang umur 14 tahun, hanya kira-kira 7.4% remaja masih ada ruang di tengah. Ruang yang tinggal selepas umur ini biasanya tak akan tertutup tanpa rawatan.
- Kenapa gigi saya tiba-tiba jadi jarang bila dah umur 40-an? Punca paling biasa pada dewasa ialah penyakit gusi yang merosakkan tulang sokongan, lalu gigi mula berganjak. Ini berlaku kepada 30%–56% pesakit penyakit gusi. Punca lain termasuk gigi tanggal di sebelah dan tabiat lidah. Dapatkan pemeriksaan gusi dan sinar-X sebelum pertimbangkan rawatan kosmetik.
- Boleh ke tutup gigi jarang pakai getah sendiri di rumah? Tidak. Getah boleh menggelongsor ke bawah gusi tanpa anda sedar dan memusnahkan tulang yang memegang gigi. Kes yang dilaporkan melibatkan seorang budak 8 tahun yang akhirnya kehilangan dua gigi depan selepas ibu bapanya cuba rapatkan ruang dengan getah.
- Tampal atau veneer — mana lebih sesuai untuk gigi jarang? Bergantung pada saiz ruang dan keadaan gigi. Tampalan komposit menambah bahan tanpa atau dengan sangat sedikit pengikisan dan boleh siap dalam satu sesi, tapi boleh berubah warna. Veneer porselin lebih tahan warna tapi memerlukan pengikisan enamel kekal. Untuk ruang besar, kedua-duanya boleh membuat gigi nampak terlalu lebar — braces atau aligner mungkin lebih sesuai.
- Gigi jarang boleh rapat dengan clear aligner? Boleh, untuk ruang ringan hingga sederhana dan gigitan yang tak kompleks. Aligner hanya berkesan jika dipakai hampir sepanjang hari, lazimnya 20–22 jam. Pemeriksaan gusi tetap perlu dahulu, dan retainer tetap diperlukan selepas rawatan tamat.
- Lepas buat braces, kenapa gigi jarang saya terbuka balik? Ruang di tengah gigi depan antara yang paling mudah relaps kerana serat gusi dan tekanan bibir serta lidah cenderung menarik gigi kembali. Punca biasa ialah retainer tak dipakai atau punca asal (tabiat lidah, penyakit gusi) tak dirawat. Retainer dawai halus di belakang gigi selalu disyorkan untuk kes seperti ini.
- Perlu potong frenum ke kalau gigi depan jarang? Tak semestinya. Frenum lebih kerap faktor sampingan berbanding punca utama. Doktor gigi akan buat ujian mudah dengan menarik bibir atas. Jika frenektomi diperlukan, ia lazimnya dibuat selepas ruang dirapatkan dengan braces atau aligner, bukan sebelumnya.
- Betul ke lepas scaling gigi jadi jarang? Scaling tidak menggerakkan gigi. Apa yang berlaku ialah karang gigi yang keras kadang-kadang “menampal” ruang yang sudah wujud akibat penyakit gusi. Bila karang dibuang dan bengkak gusi surut, ruang tu kelihatan. Membiarkan karang sebenarnya membenarkan kerosakan tulang terus berlaku.
- Gigi jarang bahaya ke untuk kesihatan? Gigi jarang yang stabil dengan gusi sihat bukan penyakit. Ia jadi isu kesihatan bila puncanya penyakit gusi, bila makanan kerap tersangkut hingga gusi meradang, atau bila ia disertai gigi goyang. Ruang yang baru muncul atau makin lebar pada dewasa perlu diperiksa.
- Macam mana nak pastikan doktor gigi yang pasang braces tu sah? Minta nombor pendaftaran Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan semak dengan MDC, pastikan Sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) untuk tahun semasa, dan pastikan klinik berdaftar di bawah Akta 586. Pakar ortodontik juga akan ada nombor Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).
Bila perlu jumpa doktor gigi?
✅ Anak berumur 8 tahun ke atas dengan ruang tengah lebih 2 mm, atau gigi kekal lambat tumbuh
✅ Anak masih menghisap jari selepas gigi kekal depan tumbuh
✅ Anda dewasa dan ruang ini baru muncul atau makin lebar
✅ Gusi berdarah, bengkak, atau gigi rasa goyang
✅ Anda mahu rawatan estetik dan perlukan penilaian yang jujur tentang pilihan yang sesuai

Klinik Pergigian Aesira terletak di 8, Jalan Reko Sentral 8, Reko Sentral, 43000 Kajang — mudah dari Bangi dan Semenyih. Waktu operasi: Isnin–Sabtu 9 pagi–9 malam, Ahad 9 pagi–5.30 petang. Buat temujanji di halaman temujanji atau hubungi 011-5897 1137.
Rujukan :
- Huang WJ, Creath CJ. The midline diastema: a review of its etiology and treatment. Pediatric Dentistry. 1995;17(3). (Merangkumi data prevalens Taylor.)
- Brunsvold MA. Pathologic tooth migration. Journal of Periodontology. 2005;76(6):859–866.
- Khalaf K, Miskelly J, Voge E, Macfarlane TV. Prevalence of hypodontia and associated factors: a systematic review and meta-analysis. Journal of Orthodontics. 2014.
- Hua F, et al. Prevalence of peg-shaped maxillary permanent lateral incisors: a meta-analysis. American Journal of Orthodontics and Dentofacial Orthopedics. 2013.
- Layton DM, Clarke M, Walton TR. A systematic review and meta-analysis of the survival of feldspathic porcelain veneers over 5 and 10 years. International Journal of Prosthodontics. 2012;25(6):590–603.
- Periodontal Screening, Where Are We Now? Annals of Dentistry, Universiti Malaya. 2025;32:30–39 (memetik National Oral Health Survey of Adults 2020, KKM).
- Kementerian Kesihatan Malaysia, Portal MyHEALTH. Periodontal Disease Amongst Malaysian (NOHSA 2010).
- American Association of Orthodontists. The Risks of DIY Braces: An Orthodontic Case Study (merujuk AJODO, Dis 2018).
- Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan Edisi Keempat, entri “rongak”. Pusat Rujukan Persuratan Melayu.
- Majlis Pergigian Malaysia. Soalan Lazim — Akta Pergigian 2018.
- Utusan Melayu Plus / Harian Metro. Pengamal tanpa lesen didenda RM100,000 tawar khidmat braces haram. April 2026.
- Kementerian Kesihatan Malaysia, dipetik oleh Remaja.my. Risiko pemakaian fake braces. Disember 2020.
Tentang penulis :
Dr. Nurul A’tikah binti U’zied ialah Doktor Gigi Prinsipal di Klinik Pergigian Aesira, Kajang. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (BDS) dari Fakulti Pergigian, Universiti Mansoura, Mesir, dan berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC No. 13130; APC DS 01759/2026). Tumpuan klinikal beliau ialah rawatan ortodontik, pergigian kanak-kanak dan pergigian estetik. Beliau bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Profil penuh
Polisi editorial
Kandungan ini ditulis dan disemak oleh doktor gigi berdaftar berdasarkan kajian saintifik dan data rasmi Malaysia yang disenaraikan di atas. Kami tidak menerima bayaran daripada mana-mana jenama produk. Artikel disemak semula sekurang-kurangnya setiap 12 bulan atau lebih awal jika ada garis panduan baharu.
Penafian
Maklumat ini untuk pendidikan umum dan bukan pengganti pemeriksaan klinikal. Setiap kes berbeza — keputusan rawatan hanya boleh dibuat selepas pemeriksaan oleh doktor gigi berdaftar.