Karang Gigi: Punca, Simptom & Rawatan di Aesira Dental
- Karang gigi adalah plak yang mengeras di permukaan gigi
- Permukaannya yang kasar menjadi tempat bakteria membiak
- Berus gigi biasa atau flos tidak menanggalkan karang gigi yang mengeras
- Rawatan scaling membantu pembersihan gigi secara selamat dan menyeluruh
- Lakukan pemeriksaan berkala untuk mencegah risiko prosedur pergigian kompleks
Pernah rasa nafas anda kurang segar walaupun baru sahaja gosok gigi? Atau perasan ada lapisan kekuningan yang degil di bahagian dalam gigi bawah, tidak kira macam mana kuat digosok? Ini merupakan petanda karang gigi sudah mula terbentuk.
Karang gigi terbentuk apabila plak yang tidak dibersihkan bertukar keras dan melekat pada permukaan gigi. Ia tidak boleh dikeluarkan dengan berus gigi atau floss sahaja, tidak kira sekuat mana usaha anda.Mengabaikan kebersihan mulut membolehkan mendapan ini melekat pada permukaan enamel dan akar gigi secara kekal jika tidak dirawat awal.

Kenali Punca Karang Gigi
Karang gigi bermula daripada plak, iaitu lapisan lembut berasaskan sisa makanan dan bakteria. Jika plak ini tidak dibersihkan, mineral dalam air liur akan menukarkannya menjadi keras seperti batu.
Apabila karang gigi sudah terbentuk, permukaannya yang kasar menjadi ‘rumah’ ideal untuk bakteria jahat berkumpul dan membiak di seluruh permukaan gigi serta sekitar garis gusi.
Antara faktor utama yang menyebabkan plak cepat mengeras menjadi karang gigi ialah:
1. Rutin Kebersihan Mulut Tidak Menyeluruh
Memberus gigi dengan teknik yang kurang tepat, jarang floss celah gigi, serta membiarkan plak berkumpul di kawasan sukar dicapai seperti bahagian belakang gigi dan garis gusi.
2. Kerap Mengambil Makanan & Minuman Manis
Kerap mengambil makanan dan minuman manis yang mempercepatkan pembentukan dan pembiakan plak.
3. Tabiat Merokok & Tembakau
Mempercepatkan pengumpulan kalkulus (karang gigi) serta meningkatkan risiko jangkitan gusi.
4. Faktor Anatomi & Biologi
Susunan gigi bertindih/rapat yang sukar dibersihkan, serta komposisi air liur sesetengah individu yang kaya mineral sehingga plak lebih cepat membatu.
5. Jarang Menjalani Pemeriksaan & Scaling
Membiarkan karang gigi menebal tanpa pembersihan profesional di klinik kerana berus biasa tidak lagi berkesan.

Simptom & Tanda Karang Gigi Yang Biasa Berlaku
1. Perubahan Fizikal pada Gigi
- Lapisan Keras dan Degil: Muncul tompokan atau lapisan kuning, coklat, atau hitam pada gigi (terutamanya bahagian dalam gigi bawah) yang tidak boleh hilang dengan berus biasa.
- Permukaan Gigi Terasa Kasar: Permukaan gigi terasa kesat, menggerutu, dan kasar sangat berbeza dengan rasa permukaan gigi sihat yang licin.
2. Kesan Awal pada Gusi (Gingivitis)
- Gusi Mudah Berdarah: Terdapat kesan darah pada buih ubat gigi atau pada tali flos. Karang gigi yang tajam dan dipenuhi bakteria sentiasa mengiritasi tisu gusi yang lembut.
- Gusi Bengkak dan Kemerahan: Gusi bertukar warna daripada merah jambu sihat kepada merah tua. Ia juga kelihatan bengkak, kembang, dan terasa sensitif atau memulas apabila disentuh.
3. Kesan Jangka Panjang & Peringkat Kronik (Periodontitis)
- Nafas Berbau Berterusan (Halitosis): Bau mulut tetap ada walaupun dah gosok gigi atau guna mouthwash sebab bakteria terperangkap dalam karang gigi.
- Gusi Mula Surut & Ngilu: Gusi makin menyusut hingga nampak akar gigi (gigi kelihatan panjang) dan mudah rasa ngilu (sensitif) pada sejuk atau panas.
4. Tahap Bahaya: Kerosakan Struktur Penyokong Gigi
Jika simptom di atas masih diabaikan, bakteria akan mula merosakkan tulang sokongan gigi dan membentuk “poket gusi” yang dalam. Pada tahap periodontal ini, anda akan mula merasai:
- Gigi mula longgar, goyang, atau beralih kedudukan.
- Rasa sakit atau tidak selesa yang amat sangat ketika mengunyah makanan.
Apa Berlaku Jika Karang Gigi Dibiarkan?
Karang gigi tidak semestinya menyebabkan simptom serta-merta. Tetapi plak yang terus berkumpul berhampiran gusi boleh menyebabkan:

Menyelesaikan Masalah Karang Gigi
Berus gigi biasa atau floss tidak mampu menanggalkan karang gigi yang telah mengeras. Rawatan profesional di klinik pergigian adalah berbeza mengikut tahap keseriusan:
1. Rawatan Scaling & Polishing
- Scaling Gigi: Doktor gigi akan menggunakan alat peranti ultrasonik (ultrasonic scaler) atau instrumen tangan khas untuk membersihkan gigi. Alat ini berfungsi menggetarkan dan memecahkan karang gigi pada permukaan gigi serta sekitar garis gusi tanpa merosakkan lapisan enamel.
Baca mengenai rawatan scaling gigi
- Polishing: Selepas scaling, permukaan gigi akan digilap dengan ubat khas. Proses ini bertujuan membuang kesan kotoran (stain) makanan/kopi dan menjadikan permukaan gigi kembali licin supaya plak baharu sukar melekat.
2. Penjagaan Selepas Rawatan
- Memberus dua kali sehari dengan teknik yang betul,
- Membersihkan celah gigi menggunakan floss/interdental brush dan
- Menjalani pemeriksaan berkala membantu mengurangkan pembentukan semula plak dan karang gigi

Pengalaman Kami Di Aesira Dental
Dari sudut klinikal, matlamat utama bukan sekadar menghilangkan bau mulut atau mencantikkan gigi untuk sementara waktu. Doktor gigi yang bertauliah akan memeriksa keseluruhan kawasan mulut sama ada karang gigi berada di permukaan gigi biasa atau sudah merayap ke bawah garis gusi supaya rawatan yang diberikan tepat. Di sini, kami menggunakan teknik lembut untuk keselesaan pesakit.
Proses bermula daripada penetapan temujanji, pemeriksaan menyeluruh, hinggalah perancangan rawatan susulan. Pengalaman kami menunjukkan bahawa rawatan scaling dan pembersihan awal bukan sahaja menyelamatkan gigi asli daripada longgar, malah mencegah risiko prosedur pergigian kompleks yang memerlukan kos lebih tinggi pada masa hadapan.
Rawatan terbaik bermula dari rumah dengan memberus gigi dua kali sehari, flossing, dan membuat pemeriksaan berkala setiap 6 bulan. Ibu bapa juga digalakkan membawa anak seawal usia 6 bulan supaya tabiat penjagaan gigi yang baik dapat dipupuk dari kecil.
Soalan Lazim Tentang Karang Gigi
1. Bolehkah karang gigi hilang sendiri tanpa rawatan?
Tidak. Karang gigi yang sudah mengeras memerlukan scaling doktor gigi berdaftar dan ia tidak boleh dikeluarkan hanya dengan berus gigi atau floss di rumah.
2. Adakah rawatan scaling menyakitkan?
Kebanyakan pesakit hanya mengalami sedikit ketidakselesaan, terutamanya jika gusi sedang meradang. Tahap keselesaan bergantung kepada tahap keterukan karang gigi dan sensitiviti gusi individu.
3. Berapa kerap saya perlu buat scaling gigi?
Secara umum setiap 6 bulan, tetapi individu dengan risiko lebih tinggi mungkin dinasihatkan untuk scaling lebih kerap bergantung kepada penilaian doktor gigi.
4. Kenapa gigi saya cepat berkarang berbanding orang lain?
Ini boleh dipengaruhi antaranya oleh kandungan mineral air liur, tabiat pemakanan, dan teknik gosok gigi.
5. Adakah scaling akan menjadikan gigi saya lebih sensitif?
Sesetengah pesakit mungkin mengalami sensitiviti sementara selepas scaling, terutamanya jika karang gigi yang dikeluarkan berada jauh di bawah garis gusi, ini biasanya beransur reda dalam beberapa hari.
Bila Perlu Jumpa Doktor Gigi?
Jika anda perasan lapisan kekuningan atau kecoklatan yang degil pada gigi, nafas berbau berterusan walaupun sudah gosok gigi, atau gusi mudah berdarah semasa gosok gigi, ini menandakan keperluan untuk penilaian klinikal segera.
Bertindak awal membantu mengelakkan karang gigi daripada berkembang menjadi masalah gusi yang lebih serius seperti periodontitis.
Selepas mendapatkan rawatan pergigian yang lengkap dan dipantau dengan baik, pesakit akan menikmati:
- Nafas lebih segar
- Permukaan gigi lebih licin dan bersih
- Gusi lebih sihat dan tidak mudah berdarah
Kesimpulan
Karang gigi bukan sekadar isu kosmetik namun ia petunjuk penting kepada kesihatan gusi secara keseluruhan yang hanya boleh dirawat secara berkesan melalui scaling profesional. Dengan pemeriksaan berkala dan rutin kebersihan mulut yang konsisten, risiko karang gigi dan masalah gusi berkaitan boleh dikurangkan dari semasa ke semasa.
Dapatkan pemeriksaan dan rawatan scaling karang gigi di Klinik Pergigian Aesira untuk senyuman yang lebih yakin dan gigi lebih sihat.
Rujukan
- Sinar Harian, Masalah Gigi Rakyat Malaysia Membimbangkan, 27 April 2023. Akses: https://www.sinarharian.com.my/article/255931/berita/nasional/masalah-gigi-rakyat-malaysia-membimbangkan
- The Star, Poor Dental Hygiene a Growing Issue Among Children, Say Experts, 11-Disember-2025. Akses: https://www.thestar.com.my/news/nation/2025/12/11/poor-dental-hygiene-a-growing-issue-among-children-say-experts
- PMC (National Library of Medicine), Kajian Kesihatan Oral, 4 Oktober 2023. Akses: https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC10552245/
- Kementerian Kesihatan Malaysia, NHMS 2020: National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 — Fact Sheet, 2 Disember 2021. Akses: NOHSA 2020 Fact Sheet – KKM
- World Health Organization, “Oral Health”, 17-03-2025. Akses: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/oral-healt
- Journal of Clinical Periodontology, “Subgingival Instrumentation for Treatment of Periodontitis: A Systematic Review”, 30-12-2019. Akses: https://onlinelibrary.wiley.com/doi/full/10.1111/jcpe.13245
- Cochrane Oral Health, “Routine Scale and Polish for Periodontal Health in Adults”, 27-12-2018. Akses:https://www.cochrane.org/evidence/CD004625_routine-scale-and-polish-periodontal-health-adults
- American Academy of Periodontology (AAP), Types of Gum Disease: Periodontal Disease & Scaling Guidelines, 23 Ogos 2026. Akses: https://www.perio.org/
Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan informasi dan bukan alternatif prosedur sebenar. Sila buat diagnosis dari doktor gigi sebenar yang sah & berdaftar untuk masalah gigi & oral anda.
Artikel ini telah disahkan secara klinikal dan ditulis oleh :
Bachelor of Dental Surgery (BDS), Mansoura University, Egypt. Dr. A’tikah U’zied merupakan Pengasas & Doktor Gigi Utama di Klinik Pergigian Aesira. Beliau merupakan doktor gigi yang sah di bawah Malaysian Dental Council (MDC) dengan nombor (No. 13130)
