Gigi Kanak-Kanak Rosak: Simptom & Rawatan di Aesira Dental
- Setiap 6 daripada 10 kanak-kanak berumur 5 tahun mengalami kaviti
- Masalah berpunca dari makanan manis & rutin berus gigi tidak konsisten
- Kerosakan bermula dengan tompok putih, ngilu sehingga cetus rasa sakit gigi
- Ketahui jenis rawatan yang tepat dan selamat berdasarkan tahap kerosakan gigi
- Jadualkan temujanji dan sesi konsultasi untuk kesihatan gigi anak yang berpanjangan
Bila ibu bapa nampak gigi kanak-kanak rosak, berlubang atau kehitaman, antara perkara yang paling kerap didengar ialah,
“Tak apa, itu gigi susu. Nanti tumbuh gigi baru.”
Malangnya, kerosakan pada gigi susu bukan semata-mata isu kosmetik.
Gigi susu membantu anak mengunyah, bercakap dan mengekalkan ruang untuk pertumbuhan gigi kekal. Apabila karies semakin dalam, anak boleh mengalami sakit, sukar makan, tidur terganggu atau jangkitan pada kawasan gigi.
Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Kira-kira 6 daripada 10 kanak-kanak berumur 5 tahun di Malaysia mengalami masalah karies. Memahami punca, simptom, dan pilihan rawatan adalah langkah utama untuk melindungi kesihatan oral anak anda.

Ketahui Punca Gigi Kanak-Kanak Rosak
Kerosakan gigi pada anak kecil, atau Early Childhood Caries (ECC) jarang berlaku disebabkan satu punca tunggal, sebaliknya hasil gabungan beberapa faktor iaitu:
1. Pengambilan Gula yang Kerap
Sisa makanan manis atau minuman bergula menjadi makanan kepada bakteria dalam plak. Bakteria ini menghasilkan asid yang menghakis mineral pada enamel gigi.
2. Penyusuan Botol Waktu Malam
Tabiat tidur bersama botol susu atau penyusuan yang kerap pada waktu malam menyebabkan sisa cecair bertakung lama di dalam mulut dan mempercepat kerosakan.
3. Memberus Gigi Tidak Konsisten
Membiarkan anak menggosok gigi sendiri tanpa pengawasan atau sekadar memberus sekali sehari tidak cukup untuk membersihkan plak.
4. Kurang Pemeriksaan Berkala
Amalan hanya membawa anak ke klinik apabila sudah sakit menyebabkan kerosakan peringkat awal gagal dibendung lebih awal.
5. Faktor Biologi & Persekitaran Diri
Meskipun karies bukan penyakit yang diwarisi secara terus menerus melalui genetik, faktor seperti struktur anatomi gigi, aliran air liur, ketebalan enamel, serta corak pemakanan yang dikongsi dalam keluarga tetap mempengaruhi tahap risiko kerosakan gigi anak.

Simptom Gigi Kanak-Kanak Rosak
Pada peringkat awal, kerosakan gigi kerap berlaku tanpa rasa sakit. Mengesan tanda awal amat penting sebelum kerosakan merebak ke lapisan saraf gigi.
1. Tanda Awal
- Tompok Putih Kapur (White Spot) : Tanda awal demineralisasi enamel yang kelihatan seperti garisan atau tompokan kapur di sepanjang garis gusi.
- Perubahan Warna : Muncul garisan atau bintik kekuningan, coklat, atau kehitaman pada permukaan mengunyah dan celah gigi.
2. Tanda Sederhana
- Gigi Berlubang (Kaviti) : Terdapat kawasan berlubang di mana sisa makanan kerap tersangkut.
- Nafas Berbau: Bau mulut yang tidak segar akibat bakteria dan sisa makanan terperangkap dalam lubang gigi.
- Sensitif/Ngilu: Anak mengadu ngilu atau tidak selesa apabila makan makanan manis, sejuk, atau panas.
3. Tanda Serius
- Sakit Gigi Berpanjangan: Anak menangis akibat sakit gigi yang teruk, terutamanya pada waktu malam.
- Perubahan Tingkah Laku: Anak enggan mengunyah makanan, meragam, atau mengalami demam.
- Gusi Bengkak & Bernanah (Abses): Tanda jangkitan bakteria telah menembusi akar gigi dan tisu gusi.
Peringatan: Jika anak menunjukkan simptom bengkak pada muka, nanah pada gusi, atau sukar menelan, segera dapatkan rawatan pergigian kecemasan.

Rawatan Gigi Kanak-Kanak Yang Rosak
Rawatan pergigian pediatrik dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan tahap kerosakan serta tahap keselesaan anak.
1. Pemeriksaan & Diagnosis
Sesi konsultasi awal melibatkan penilaian fizikal struktur mulut dan ujian X-ray digital (jika perlu) untuk menentukan kedalaman karies serta kesihatan akar gigi dan gusi secara tepat.
2. Fluoride Varnish
Cecair fluorida berkepekatan tinggi disapu pada gigi untuk menguatkan enamel dan menghentikan tompok putih (tanda awal rosak) daripada menjadi lubang.
3. Pengedap Fisur (Fissure Sealant)
Rawatan pencegahan dengan menyapu lapisan pelindung nipis pada permukaan kunyahan gigi geraham. Ia bertujuan untuk menutup lubang-lubang kecil (pits) serta alur yang dalam (fissures) agar sisa makanan dan plak tidak mudah tersangkut, sekali gus menghalang pembentukan kaviti tanpa perlu menggerudi gigi.
4. Silver Diamine Fluoride (SDF)
Cecair khas yang disapu pada lubang gigi untuk mematikan bakteria dan menyekat perkembangan lubang tanpa perlu menggerudi gigi. Kawasan karies akan bertukar warna hitam).
5. Tampalan Gigi (Dental Filling)
Prosedur membuang sisa kerosakan struktur gigi dengan lembut sebelum kaviti ditutup semula menggunakan bahan tampalan berkualiti yang selamat untuk mengembalikan fungsi kunyahan dan bentuk anatomi asal gigi.
Bacaan mengenai rawatan tampalan gigi
6. Rawatan Pulpa & Cabutan Gigi
Sekiranya karies telah menembusi lapisan dalam gusi sehingga menjejaskan urat saraf, rawatan pulpa (pulpotomy) akan dilakukan bagi menyelamatkan sisa gigi susu tersebut.
Bagaimanapun, jika struktur gigi didapati terlalu hancur atau jangkitan kuman sudah terlalu parah, prosedur cabutan akan dipertimbangkan mengikut kesesuaian umur dan fasa pertumbuhan gigi kekal anak.
Bacaan mengenai rawatan cabutan gigi

Pendekatan Kami di Aesira Dental
Kami memahami bahawa pengalaman pertama anak di klinik pergigian amat menentukan persepsi mereka terhadap penjagaan gigi sepanjang hayat.
Perkhidmatan Paediatric Dentistry kami di Aesira Dental, berpegang teguh kepada prinsip diagnosis teliti terlebih dahulu, di mana prosedur hanya dipilih berdasarkan tahap kerosakan dan kesediaan mental anak. Semua rawatan dilakukan oleh doktor gigi bertauliah dengan pendekatan yang lembut serta suasana klinik yang selesa untuk membantu menenangkan anak yang gementar.
Selain rawatan klinikal seperti tampalan dan cabutan, kami turut memberikan rawatan fizikal dan penekanan kepada pendidikan penjagaan gigi secara holistik kepada anak serta ibu bapa.
Kami menggalakkan ibu bapa membawa anak (toddlers) seawal usia 6 bulan untuk pemeriksaan pertama mereka.
Soalan Lazim Mengenai Gigi Kanak-Kanak Rosak
1. Adakah gigi susu yang berlubang wajib ditampal?
Ya, sekiranya doktor menilai struktur gigi masih boleh diselamatkan. Gigi susu amat penting untuk fungsi mengunyah, pertuturan, dan menjadi pemegang ruang (space maintainer) bagi gigi kekal yang bakal tumbuh.
2. Adakah prosedur tampalan gigi selamat untuk anak kecil?
Ya, tampalan gigi (dental filling) adalah prosedur biasa yang sangat selamat. Bahan dan teknik yang digunakan akan disesuaikan mengikut umur serta tahap keselesaan anak semasa di kerusi rawatan.
3. Kenapa gigi anak tetap bertukar hitam walaupun rajin gosok gigi?
Memberus gigi hanyalah sebahagian daripada penjagaan. Kekerapan pengambilan gula, teknik memberus yang tidak bersih, penyusuan waktu malam, serta karies yang sedia ada di bahagian dalam masih boleh menyebabkan gigi menghitam.
4. Boleh ke kalau biarkan sahaja gigi susu yang rosak sebab nanti ia akan tanggal sendiri?
Tidak digalakkan. Karies yang aktif boleh melarat ke bahagian saraf dan menyebabkan jangkitan kuman, rasa sakit teruk, serta merosakkan benih gigi kekal di bawahnya sebelum tiba masa untuk gigi susu tersebut tanggal secara semula jadi.
5. Bagaimana cara terbaik elak anak daripada gigi berlubang?
Pastikan anak memberus gigi 2 kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida dengan bantuan ibu bapa, kawal pemakanan manis, elakkan membiarkan anak tidur bersama botol susu di dalam mulut, dan jadualkan pemeriksaan pergigian setiap 6 bulan sekali.
Bila Perlu Bawa Anak Jumpa Doktor Gigi?
Bawa anak berjumpa doktor gigi sekiranya anda melihat tanda awal seperti tompok putih, coklat, atau hitam pada permukaan gigi, serta lubang yang jelas kelihatan. Amaran lain termasuk anak mula mengadu sakit atau sensitif apabila terkena makanan manis, panas, atau sejuk, mahupun gusi yang mula membengkak dan bernanah.
Bertindak awal bukan sahaja membolehkan pelan rawatan yang lebih ringan dan selesa dirancang, malah mengelakkan risiko kesakitan berpanjangan serta melindungi pertumbuhan gigi kekal anak anda.
Hasil daripada rawatan yang konsisten, anak anda dapat menikmati:
- Gigi dan gusi yang sihat serta bebas jangkitan.
- Keupayaan makan dan mengunyah dengan selesa.
- Pertumbuhan struktur muka dan gigi kekal yang teratur.
Kesimpulan
Gigi kanak-kanak rosak bukan sesuatu yang perlu ditunggu sehingga gigi susu gugur sendiri.
Kerosakan gigi boleh dicegah dan dirawat dengan bertindak awal. Mengamalkan rutin memberus gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida, mengurangkan pengambilan gula, dan mendapatkan pemeriksaan berkala setiap 6 bulan.
Di Aesira Dental, kami membantu memastikan senyuman dan pertumbuhan gigi kekal anak anda sentiasa terpelihara.
Rujukan
- Kementerian Kesihatan Malaysia, Management of Early Childhood Caries, Third Edition, 2024. Akses: https://www.moh.gov.my/images/04-penerbitan/penerbitan-klinikal/panduan-amalan-klinikal/Management%20Of%20Early%20Childhood%20Caries%203rd%20Edition.pdf
- Kementerian Kesihatan Malaysia, National Oral Health Strategic Plan 2022–2030, 2022. Akses: https://www.moh.gov.my/en/publications-and-reports/policies-act-policies-guide-lines/strategic-plan/list-of-strategic-plans/pelan-strategik-kesihatan-pergigian-kebangsaan-2022-2030
- Institute for Public Health, Ministry of Health Malaysia, NHMS 2022: Maternal and Child Health – Technical Report, 2023. Akses: https://a.nih.gov.my/images/teknikal-report/trnhmsmch2022v3.pdf
- World Health Organization, Oral Health Malaysia 2022 Country Profile, 18-11-2022. Akses: https://www.who.int/publications/m/item/oral-health-mys-2022-country-profile
- Cochrane Oral Health, Fluoride Toothpastes of Different Strengths for Preventing Tooth Decay, 04-03-2019. Akses: https://www.cochrane.org/evidence/CD007868_fluoride-toothpastes-different-strengths-preventing-tooth-decay
- BMC Oral Health, Silver Diamine Fluoride With Sodium Fluoride Varnish Versus Silver Diamine Fluoride in Arresting Early Childhood Caries, 17-11-2023. Akses: https://link.springer.com/article/10.1186/s12903-023-03597-5
- The Star, Poor Dental Hygiene a Growing Issue Among Children, Say Experts, 11-12-2025. Akses: https://www.thestar.com.my/news/nation/2025/12/11/poor-dental-hygiene-a-growing-issue-among-children-say-experts
- Sinar Harian, Masalah Gigi Rakyat Malaysia Membimbangkan, 27-04-2023. Akses: https://www.sinarharian.com.my/article/255931/berita/nasional/masalah-gigi-rakyat-malaysia-membimbangkan
Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan informasi dan bukan alternatif prosedur sebenar. Sila buat diagnosis dari doktor gigi sebenar yang sah & berdaftar untuk masalah gigi & oral anda.
Artikel ini telah disahkan secara klinikal dan ditulis oleh :
Bachelor of Dental Surgery (BDS), Mansoura University, Egypt. Dr. A’tikah U’zied merupakan Pengasas & Doktor Gigi Utama di Klinik Pergigian Aesira. Beliau merupakan doktor gigi yang sah di bawah Malaysian Dental Council (MDC) dengan nombor (No. 13130)
