Punca & Simptom Sakit Gigi Geraham Dewasa (Ulasan Doktor)
- Sakit gigi geraham buat denyut di kepala
- Antara punca gigi berlubang, keradangan saraf & gigi retak
- Kenal pasti simptom untuk mengelakkan risiko jangkitan serius
- Buat pemeriksaan untuk diagnosis tepat & pilihan rawatan berkesan
Sakit gigi geraham boleh bermula sebagai rasa ngilu selepas minum air sejuk. Lama-kelamaan, ia mungkin berubah menjadi sakit berdenyut yang mengganggu tidur, makan dan tumpuan ketika bekerja.
Ramai pesakit cuba menahan sakit dengan ubat tahan sakit, berkumur air garam atau mengunyah menggunakan bahagian mulut yang lain.
Langkah ini mungkin membantu buat sementara waktu, tetapi sakit yang reda tidak semestinya bermaksud gigi sudah pulih. Lazimnya, ia petanda saraf gigi telah mati, manakala bakteria terus membiak ke bahagian akar.
Memahami Sakit Gigi Geraham Secara Klinikal
Gigi geraham dicipta khas untuk menanggung beban dan tekanan kunyahan yang paling berat.
Menurut pangkalan data PubMed, kekuatan gigitan maksimum (Maximum Bite Force) pada gigi geraham dewasa boleh mencapai 500 hingga 700 Newton (N) iaitu bersamaan tekanan objek 71 kg pada satu batang gigi yang boleh menyebabkan gigi berlubang atau retak pecah menembusi akar dan mencetuskan kesakitan amat dahsyat.
Oleh itu, sakit gigi geraham adalah simptom, bukan diagnosis. Pemeriksaan doktor gigi amat penting untuk mengenal pasti punca sebenar bagi mendapatkan rawatan yang selamat serta berkesan.

Apa Punca Sakit Gigi Geraham?
Sakit gigi geraham biasanya tidak berlaku secara tiba-tiba. Sebaliknya, ia berkembang secara perlahan-lahan jika diabaikan. Antara punca yang paling lazim di Malaysia adalah:
1. Gigi Berlubang (Karies)
Bakteria menukarkan gula daripada makanan kepada asid yang mengikis enamel gigi. Apabila kerosakan merebak ke lapisan dentin, gigi mula menjadi sensitif.
Jika asid dan bakteria menghampiri saraf (pulpa), rasa sakit akan menjadi lebih tajam dan berpanjangan.
2. Keradangan Saraf (Pulpitis)
Pulpa boleh meradang akibat lubang yang terlalu dalam, retakan, atau trauma.
Keradangan ini sering mencetuskan sakit spontan, sakit yang berlarutan selepas terkena makanan/minuman panas atau sejuk, serta rasa denyutan yang makin kuat pada waktu malam.
3. Jangkitan Akar & Abses (Bengkak Nanah)
Apabila saraf gigi mati, bakteria bergerak ke hujung akar dan membentuk jangkitan.
Gejalanya termasuk sakit hebat apabila menggigit, gusi atau muka membengkak, keluar nanah (atau benjolan seperti jerawat pada gusi), dan rasa demam atau tidak sihat.
4. Gigi Retak
Aktiviti mengunyah makanan keras, mengetap gigi (bruxism), atau mempunyai tampalan besar boleh menyebabkan geraham retak.
Ciri utamanya ialah sakit tajam secara tiba-tiba apabila menggigit atau sewaktu melepaskan gigitan. Retakan ini kekadang sukar dikesan melalui X-ray biasa.
5. Tampalan Rosak atau Bocor
Tampalan lama yang pecah, haus, atau renggang membolehkan bakteria dan sisa makanan memasuki ruang di bawah tampalan.
ni mengakibatkan karies baharu berlaku di bahagian dalam gigi tanpa disedari.
6. Penyakit Gusi (Periodontitis)
Pengumpulan plak dan karang gigi yang dibiarkan boleh merosakkan gusi serta tulang sokongan gigi.
Ia menyebabkan poket gusi menjadi dalam, gusi mudah berdarah, dan timbul rasa sakit apabila terdapat jangkitan atau makanan terselit di selangan gigi.
7. Gigi Bongsu Impak (Pericoronitis)
Gigi bongsu yang tumbuh separa meninggalkan lipatan gusi di atasnya. Lipatan ini mudah memerangkap sisa makanan dan bakteria, menyebabkan jangkitan tempatan yang mencetuskan sakit, gusi bengkak, bau mulut, dan kesukaran untuk membuka mulut dengan luas.

Kenapa Masalah Ini Terjadi?
-
Diet Harian: Kerap mengambil gula menyebabkan serangan asid berulang pada gigi, manakala makan lewat malam tanpa memberus gigi mempercepat pengumpulan plak.
-
Rutin Penjagaan Mulut: Memberus tergesa-gesa sering meninggalkan geraham belakang dan garis gusi, manakala celah antara gigi memerlukan flos atau berus interdental untuk dibersihkan sepenuhnya.
-
Gaya Hidup & Kesibukan: Menangguhkan pemeriksaan gigi akibat jadual kerja atau laluan sesak menyebabkan karies kecil melarat menjadi lebih parah.
-
Faktor Keturunan: Genetik mempengaruhi bentuk gigi, kedalaman alur, dan komposisi air liur, namun risiko ini masih boleh dikawal dengan penjagaan harian yang baik.
Apakah Simptom Sakit Gigi Geraham?
Berikut adalah simptom-simptom utama sakit gigi geraham yang perlu diperhatikan:
- Gusi bengkak/bernanah: menunjukkan jangkitan akar atau gusi.
- Bau mulut/rasa pahit: terdapat jangkitan atau pengumpulan makanan.
- Ngilu singkat terhadap sejuk: dentin terdedah, gusi menyusut atau karies awal.
- Sakit berlarutan selepas panas/sejuk: keradangan saraf yang lebih mendalam.
- Sakit ketika menggigit: gigi retak, jangkitan akar, tampalan tinggi atau makanan terselit.
- Sakit berdenyut pada waktu malam: dikaitkan dengan tekanan dan keradangan dalam pulpa.
- Sakit menjalar ke telinga & kepala: saraf muka saling berkait menyebabkan sakit di kawasan lain.

Apa Berlaku Jika Sakit Gigi Geraham Dibiarkan?
Masalah yang tidak dirawat boleh berkembang kepada:
- Keradangan saraf yang serius & kematian pulpa.
- Jangkitan akar dan pembentukan abses (nanah).
- Kehilangan tulang sokongan & gigi menjadi longgar.
- Kerosakan struktur gigi hingga memerlukan cabutan.
- Kuman gigi merebak ke bahagian muka dan leher menjadi bengkak besar.
Rawatan Sakit Gigi Geraham
Sebelum menentukan rawatan, doktor gigi akan menilai tahap kesakitan dan mengambil imbasan X-ray untuk melihat keadaan akar serta tulang. Pilihan rawatan yang sesuai merangkumi:
1. Tampalan
Digunakan apabila karies masih berada pada peringkat awal/sederhana dan struktur gigi masih mencukupi.
2. Rawatan Akar Gigi (Root Canal Treatment)
Dicadangkan apabila pulpa mengalami keradangan kekal atau telah mati, tetapi struktur gigi masih boleh diselamatkan.
3. Rawatan Gusi
Pembersihan karang gigi (scaling) dan pembersihan mendalam (root planing) jika sakit berpunca daripada poket gusi.
4. Crown (Sarung Gigi)
Melindungi geraham yang kehilangan banyak struktur, mempunyai tampalan besar, atau selepas rawatan akar.
5. Cabutan
Langkah terakhir jika gigi retak menembusi akar, reput terlalu teruk, atau tidak mempunyai sokongan tulang. Pilihan penggantian seperti implan, bridge, atau gigi palsu boleh dibincangkan.
6. Antibiotik
Hanya diberikan jika terdapat tanda jangkitan sistemik atau merebak seperti demam dan muka bengkak. Antibiotik bukan penawar sakit saraf gigi.
Pengalaman Kami di Aesira Dental
Melalui pengalaman klinikal, kebanyakan pesakit hanya tampil membuat pemeriksaan apabila rasa sakit sudah tidak dapat ditahan dengan ubat biasa. Di Aesira Dental, pemeriksaan kami bertujuan mengenal pasti dan mendiagnos punca dan keadaan gigi geraham. Pelan rawatan diberikan secara khusus mengikut situasi serta keperluan sebelum sebarang prosedur dimulakan.
Soalan Lazim Sakit Gigi Geraham
1. Kenapa sakit jadi lebih teruk waktu malam?
Keradangan dan tekanan dalam gigi mungkin terasa lebih ketara ketika berbaring. Kurangnya gangguan pada waktu malam juga membuatkan seseorang lebih menyedari rasa sakit.
2. Bolehkah sakit gigi geraham hilang sendiri?
Sakit mungkin reda, tetapi puncanya belum tentu pulih. Saraf yang mati boleh menyebabkan sakit berhenti sementara sebelum jangkitan akar berlaku.
3. Kenapa gigi sakit apabila menggigit?
Puncanya mungkin gigi retak, keradangan akar, tampalan tinggi, penyakit gusi atau makanan terselit.
4. Semua sakit gigi kena makan antibiotik?
Tidak. Kebanyakan sakit saraf memerlukan rawatan terhadap gigi, bukan antibiotik semata-mata.
5. Berapakah kos rawatan?
Kos bergantung pada diagnosis dan prosedur. Tampalan, rawatan akar, crown dan cabutan mempunyai tahap kerumitan berbeza. Pemeriksaan diperlukan untuk menyediakan anggaran yang lebih tepat.
Bila Anda Perlu Jumpa Doktor?
Jika anda mula perasan sakit gigi geraham berlarutan lebih daripada 1 hingga 2 hari, mengganggu tidur serta aktiviti harian, terasa tajam apabila menggigit, atau disertai gusi yang bengkak, pecah, dan berdarah.
Ini situasi wajar dan jangan ditangguhkan lagi. Menunggu lebih lama bukan sahaja memburukkan kerosakan gigi geraham, malah meningkatkan risiko jangkitan serius.
Selepas pemeriksaan dan rawatan yang lengkap dipantau oleh doktor gigi, pesakit akan menikmati:
-
Bebas sakit dan ngilu
-
Sihat tanpa gusi bengkak
-
Kualiti tidur dan aktiviti harian terjamin
Kesimpulan
Sakit gigi geraham tidak seharusnya dianggap masalah kecil. Oleh itu, mencari rawatan bukan sekadar tentang menghilangkan rasa sakit sementara, tetapi tentang mendapatkan diagnosis yang tepat, selamat, dan berbaloi dengan keadaan gigi anda sendiri.
Di Aesira Dental, kami sedia bantu anda dari peringkat pemeriksaan awal bagi mengenal pasti punca sebenar sehingga pemilihan pelan rawatan seperti tampalan, rawatan akar, mahupun cabutan mengikut keperluan anda. Hubungi kami untuk tempah sesi pemeriksaan hari ini.
Rujukan :
- World Health Organization, “Oral Health”, 17-03-2025. Akses: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/oral-health
- World Health Organization, “Sugars and Dental Caries”, 14-08-2025. Akses: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/sugars-and-dental-caries
- Program Kesihatan Pergigian KKM, “National Oral Health Survey of Adults 2020”, tarikh mengikut dokumen. Akses: https://hq.moh.gov.my/ohp/index.php/ms/?id=146&option=com_sppagebuilder&view=page
- American Dental Association, “Antibiotics for Dental Pain and Swelling Guideline”, 2019. Akses: https://www.ada.org/resources/research/science/evidence-based-dental-research/antibiotics-for-dental-pain-and-swelling
- Astro Awani, “Masalah Gigi Rakyat Malaysia Membimbangkan”, 27-04-2023. Akses: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/masalah-gigi-rakyat-malaysia-membimbangkan-417078
- PubMed, “Maximum bite force in healthy young adults”, 10-11-2010. Akses: https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/21062965/
Penafian : Artikel ini adalah untuk tujuan informasi dan bukan alternatif prosedur sebenar. Sila buat diagnosis dari doktor gigi sebenar yang sah & berdaftar untuk masalah gigi & oral anda.
Artikel ini telah disahkan secara klinikal dan ditulis oleh :
Bachelor of Dental Surgery (BDS), Mansoura University, Egypt. Dr. A’tikah U’zied merupakan Pengasas & Doktor Gigi Utama di Klinik Pergigian Aesira. Beliau merupakan doktor gigi yang sah di bawah Malaysian Dental Council (MDC) dengan nombor (No. 13130)

