Anda Tiba-Tiba Sakit Gigi Berdenyut? Ini Ulasan Doktor Kami
- Sakit gigi berdenyut tanda keradangan tisu saraf (pulpitis)
- Berpunca dari kerosakan gigi tanpa rawatan menembusi lapisan urat saraf
- Mengangguhkan rawatan boleh membawa risiko & komplikasi yang lebih serius
- Selepas diagnosis dibuat, pilihan rawatan bergantung pada tahap kerosakan gigi
- Dapatkan konsultasi & rawatan di Aesira Dental untuk kelegaan yang berpanjangan
Jam sudah lewat malam, tetapi gigi rasa “berdenyut” mengikut nadi. Anda mungkin sudah berkumur air garam, menyapu minyak tertentu atau mengambil ubat tahan sakit, namun denyutan kembali sebaik sahaja kesan sementara itu berkurang.
Ada yang menyangka sakit tersebut cuma disebabkan “angin”, gigi sensitif atau makanan terselit. Ada juga yang percaya antibiotik sahaja boleh menyelesaikan masalah. Hakikatnya, sakit gigi berdenyut boleh menandakan masalah yang lebih dalam daripada apa yang kelihatan pada permukaan gigi.
Gigi mungkin tidak mempunyai lubang yang jelas, tetapi keretakan halus, tampalan lama yang bocor atau keradangan di dalam pulpa masih boleh mencetuskan sakit.

Kenapa Gigi Boleh Berdenyut?
Gigi berdenyut berlaku apabila tisu saraf dan salur darah di dalam gigi (pulpa) mengalami keradangan atau jangkitan akibat karies, trauma, atau rekahan.
Keradangan ini mengumpul tekanan di dalam struktur gigi yang keras, lalu mencetuskan rasa sakit berdenyut yang semakin teruk seiring dengan peningkatan tahap keradangan saraf (PubMed).
Namun, corak sakit sahaja tidak mencukupi untuk menentukan diagnosis. Doktor gigi perlu memeriksa keadaan gigi, gusi, gigitan dan tulang sokongan secara menyeluruh.
Cabaran utamanya ialah sakit mungkin sudah melibatkan pulpa atau kawasan akar ketika pesakit akhirnya datang mendapatkan rawatan.
Fahami Sakit Gigi Berdenyut Bermula
Kerosakan gigi (karies) yang dibiarkan tanpa rawatan akan menembusi beberapa lapisan gigi utama:
- Enamel: Karies awal mungkin kelihatan sebagai tompok putih, perang atau hitam. Pada peringkat ini, ramai pesakit belum berasa sakit.
- Dentin: Apabila kerosakan melepasi enamel, gigi boleh mula ngilu apabila terkena makanan manis, masam, panas atau sejuk.
- Pulpa: Keradangan saraf boleh menyebabkan sakit spontan, berdenyut atau rasa sakit yang berlarutan selepas rangsangan panas dan sejuk dihentikan.
- Akar dan tulang: Jika pulpa rosak atau mati, bakteria boleh merebak ke sekitar akar lalu menghasilkan nanah, gusi bengkak, abses atau sakit ketika menggigit.
Tidak semua pesakit melalui urutan yang sama. Gigi retak atau trauma, misalnya, boleh menyebabkan pulpa terjejas walaupun lubang gigi tidak kelihatan besar. Pulpitis tidak boleh balik juga merupakan antara sebab lazim pesakit memerlukan rawatan pergigian kecemasan. (Cochrane Oral Health)

Kenapa Sakit Gigi Berdenyut Berlaku?
1. Gaya hidup & Tabiat Malam
Amalan makan lewat malam tanpa memberus gigi sebelum tidur menyebabkan sisa makanan terperam sepanjang malam, mempercepatkan kerosakan gigi dan pembiakan bakteria
2. Pemakanan harian
Pengambilan gula dalam makanan dan minuman yang tinggi memberi bakteria lebih banyak peluang menghasilkan asid. KKM turut mengenal pasti pengambilan gula bebas yang tinggi, memberus secara tidak mencukupi dan tidak membersihkan celah gigi sebagai faktor kerosakan gigi. (The Star)
3. Persekitaran & rutin harian
Memberus gigi secara tergesa-gesa, tidak menggunakan flos gigi untuk membersihkan celah gigi, atau jarang menukar berus gigi.
4. Faktor keturunan
Struktur enamel yang kurang tebal atau susunan gigi berlapis yang sukar dibersihkan secara semulajadi.

Apa Berlaku Jika Sakit Gigi Berdenyut Dibiarkan?
Menangguhkan rawatan kesihatan pergigian boleh membawa komplikasi serius yang menjejaskan kesihatan keseluruhan tubuh.
Risiko & Komplikasi Klinikal
- Abses Pergigian (Pengumpulan Nanah): Jangkitan mati pada pulpa akan membiak di hujung akar gigi, membentuk nanah di dalam tulang rahang.
- Selulitis Muka (Facial Cellulitis): Jangkitan nanah boleh merebak ke dalam tisu lembut muka dan leher, menyebabkan pembengkakan drastik.
- Salur Pernafasan Tersekat: Dalam kes jangkitan teruk pada gigi rahang bawah (Angina Ludwig), pembengkakan boleh menyumbat saluran pernafasan dan membahayakan nyawa.
Jangkitan pergigian boleh merebak daripada gigi atau gusi ke tisu sekeliling. Kes yang lebih serius boleh menghasilkan abses, bengkak muka atau selulitis yang melibatkan dasar mulut dan ruang leher
Kajian berasaskan NHMS 2019 mendapati hampir satu perempat orang dewasa Malaysia yang melaporkan masalah pergigian memilih untuk merawat diri sendiri. (Springer)
Bagaimana Sakit Gigi Berdenyut Dirawat?
Proses diagnosis bermula dengan sesi konsultasi untuk tahap kesakitan dan keadaan gigi.. Seterusnya, pemeriksaan klinikal komprehensif akan dijalankan, yang merangkumi:
- Pemeriksaan Visual & Struktur Gigi: Pemeriksaan karies (lubang), keadaan tampalan lama, tahap kesihatan gusi, serta rekahan pada struktur gigi.
- Ujian Tindak Balas Pulpa (Ujian Sensitiviti): Menilai status hayat saraf gigi menggunakan rangsangan sejuk atau ujian termal/elektrik.
- Ujian Ketukan & Gigitan: Menilai tahap keradangan pada ligamen periodontal di sekitar akar gigi.
- Pemeriksaan Poket Gusi: Mengukur kedalaman poket gusi untuk mengenalpasti sama ada punca sakit berasal daripada penyakit gusi (periodontitis).
- Imbasan X-ray : Mengesan kedalaman karies, bentuk struktur akar gigi, serta paras kerosakan tulang rahang atau pembentukan abses (nanah) di sekitar akar.
Pilihan Rawatan Untuk Sakit Gigi Berdenyut
Selepas punca sebenar sakit gigi berdenyut dikenal pasti melalui diagnosis, doktor gigi akan mengesyorkan pilihan rawatan yang sesuai bergantung pada tahap kerosakan:
1. Tampalan gigi
Sesuai apabila kerosakan masih boleh dibuang dan pulpa belum mengalami keradangan yang serius atau abses yang aktif.
Baca: Rawatan Tampalan Gigi
2. Rawatan akar gigi
Lazim digunakan apabila pulpa mengalami keradangan yang tidak boleh dipulihkan atau sudah rosak, tetapi struktur gigi masih sesuai dipertahankan.
Baca Root Canal Treatment
3. Cabutan gigi
Dipertimbangkan apabila gigi retak jauh ke bawah, struktur terlalu rosak atau tidak lagi mempunyai sokongan yang mencukupi.
Baca Rawatan Cabutan Gigi
4. Rawatan pembedahan gigi bongsu
Jika punca sebenar datang daripada poket gusi, jangkitan sekitar gigi bongsu atau tisu sokongan.
Baca Rawatan Pembedahan Gigi Bongsu
Berdasarkan Journal of the American Dental Association (JADA), penggunaan antibiotik bukan pengganti kepada rawatan gigi.
Ia turut mengehadkan penggunaan antibiotik bagi keadaan sakit pulpa yang tidak menunjukkan tanda jangkitan merebak atau penglibatan sistemik (seperti demam atau bengkak muka).

Pengalaman Kami di Aesira Dental
Dari sudut klinikal, matlamat pertama bukan hanya menghentikan denyutan untuk beberapa jam. Doktor perlu mengetahui mengapa gigi berdenyut, sama ada ia masih boleh dipulihkan dan rawatan manakah yang sesuai dengan kesihatan, keutamaan serta kemampuan pesakit.
Di Aesira Dental, proses bermula dengan penetapan temujanji, pemeriksaan dan perancangan rawatan susulan. Pengalaman kami menunjukkan bahawa rawatan awal bukan sahaja menyelamatkan gigi asli, malah mencegah kos prosedur pembedahan yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Soalan Lazim Sakit Gigi Berdenyut
1. Kenapa sakit gigi berdenyut jadi lebih teruk waktu malam?
Ia mungkin terasa lebih kuat kerana kurang gangguan, perubahan posisi ketika berbaring dan keradangan yang berterusan. Namun, sakit waktu malam sahaja tidak boleh menentukan sama ada anda memerlukan tampalan atau rawatan akar.
2. Antibiotik boleh hilangkan sakit gigi berdenyut?
Tidak semestinya. Antibiotik tidak membuang karies gigi berlubang atau tisu pulpa yang meradang. Ia digunakan apabila doktor menilai terdapat tanda tertentu seperti jangkitan merebak, demam atau penglibatan sistemik.
3. Bolehkah air garam atau tuam ais membantu?
Ia boleh membantu sementara, tetapi bukan rawatan punca. Berkumur dengan air garam suam boleh memberi keselesaan pada gusi, manakala tuam sejuk di luar pipi mungkin mengurangkan rasa tidak selesa. Elakkan meletakkan ais terus pada gigi atau gusi.
4. Sakit berdenyut bermaksud saya kena cabut gigi?
Tidak. Sesetengah gigi masih boleh dirawat dengan tampalan atau rawatan akar. Keputusan bergantung pada kedalaman kerosakan, lokasi rekahan, keadaan tulang dan sama ada gigi masih boleh dipulihkan.
5. Berapa lama untuk pulih selepas rawatan gigi?
Kelegaan daripada kesakitan berdenyut selalunya dirasai segera selepas prosedur pelepasan tekanan atau rawatan akar dilakukan. Ketidakselesaan ringan pada gusi mungkin berlarutan 2–3 hari dan boleh dikawal dengan ubat penahan sakit biasa.
Bilakah Anda Perlu Berjumpa Doktor Gigi?
Jika anda kerap mengalami sakit gigi berdenyut yang mengganggu tidur, sensitif pada panas atau sejuk yang berlarutan, gusi membengkak, atau sakit kembali setiap kali kesan ubat hilang. Ini adalah tanda yang wajar disemak segera dan tidak patut ditangguhkan lagi.
Selepas mendapatkan rawatan pergigian yang lengkap dan dipantau dengan baik, pesakit akan menikmati:
- Melegakan kesakitan berdenyut secara berkesan
- Mempertahankan dan menyelamatkan struktur gigi asli
- Mengawal risiko jangkitan berulang pada masa hadapan
Kesimpulan
Sakit gigi berdenyut ialah amaran klinikal yang tidak wajar ditutup dengan ubat tahan sakit atau petua semata-mata. Lebih awal punca dikenal pasti, lebih tinggi peluang untuk menyelamatkan gigi asli anda.
Untuk pemeriksaan dan diagnosis tepat bagi sakit gigi berdenyut di Kajang, hubungi Aesira Dental hari ini bagi mendapatkan penilaian serta pelan rawatan yang selesa, mesra, dan profesional.
Rujukan :
- Kementerian Kesihatan Malaysia, Pelaksanaan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2020: Kajiselidik Kesihatan Pergigian Orang Dewasa 2020, 28-07-2022. Akses: (https://www.moh.gov.my/media-kkm/arkib-kenyataan-media/2022/kenyataan-media-ketua-pengarah-kesihatan-pelaksanaan-tinjauan-kesihatan-dan-morbiditi-kebangsaan-2020-kaji-selidik-kesihatan-pergigian-orang-dewasa-2020-nhms-2020-nohsa-2020)
- World Health Organization, Oral Health Malaysia 2022 Country Profile, 18-11-2022. Akses: (https://www.who.int/publications/m/item/oral-health-mys-2022-country-profile)
- The Journal of the American Dental Association, Evidence-Based Clinical Practice Guideline for the Pharmacologic Management of Acute Dental Pain in Adolescents, Adults, and Older Adults, 05-02-2024. Akses: (https://jada.ada.org/article/S0002-8177%2823%2900672-4/fulltext)
- The Journal of the American Dental Association, Evidence-Based Clinical Practice Guideline on Antibiotic Use for the Urgent Management of Pulpal- and Periapical-Related Dental Pain and Intraoral Swelling, November 2019. Akses: (https://jada.ada.org/article/S0002817719306178/abstract)
- Cochrane Oral Health, Antibiotic Use for Severe Toothache—Irreversible Pulpitis, Mei 2019, Issue 5. Akses: (https://www.cochrane.org/ms/evidence/CD004969_antibiotic-use-severe-toothache-irreversible-pulpitis)
- Journal of Endodontics, Evaluation of Inflammatory Mediators, Pulpal Blood pH, and Oxygen Saturation in Teeth with Pulpitis, 05-02-2026. Akses: (https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/41654292/)
- BMC Oral Health, Oral Healthcare Seeking Behavior of Malaysian Adults in Urban and Rural Areas: Findings from the National Health and Morbidity Survey 2019, 05-10-2023. Akses: (https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/37798660/)
- Sinar Harian, Masalah Gigi Rakyat Malaysia Membimbangkan, 27-04-2023. Akses: (https://www.sinarharian.com.my/article/255931/berita/nasional/masalah-gigi-rakyat-malaysia-membimbangkan)
Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan informasi dan bukan alternatif kepada rawatan sebenar. Sila dapatkan diagnosis daripada doktor gigi yang sah dan berdaftar untuk masalah gigi dan oral anda.
Artikel ini telah disahkan secara klinikal dan ditulis oleh :
Bachelor of Dental Surgery (BDS), Mansoura University, Egypt. Dr. A’tikah U’zied merupakan Pengasas & Doktor Gigi Utama di Klinik Pergigian Aesira. Beliau merupakan doktor gigi yang sah di bawah Malaysian Dental Council (MDC) dengan nombor (No. 13130)
