Cara Floss Gigi Yang Betul Untuk Gigi Bersih Dari Plak
- Floss digunakan untuk bersihkan plak & sisa makanan sukar dicapai berus gigi
- Pendarahan biasa berlaku jika gigi sudah meradang, teknik kasar atau ada karang
- Guna teknik yang betul. Gerak atas & bawah secara perlahan tanpa menghentak gusi
- Pilih floss tepat seperti interdental brush atau dental floss bantu kurang gusi meradang
- Dapatkan pemeriksaan doktor gigi secara berkala untuk kesihatan oral berpanjangan
Berus gigi sememangnya berkesan membersihkan permukaan hadapan, belakang, dan atas gigi. Namun, bulu berus sukar memasuki titik sentuhan sempit di antara dua gigi yang rapat. Kawasan yang terlepas pandang ini menyebabkan plak lapisan biofilm kuman dan bakteria lekit mudah terkumpul dan kekal di celah gigi.
Jika plak tidak dibersihkan secara konsisten, ia boleh membawa masalah berikut:
- Mencetuskan Gingivitis: Plak menyebabkan gusi meradang, bengkak, dan mudah berdarah.
- Mengeras Menjadi Karang Gigi: Plak yang dibiarkan lama akan mengeras menjadi kalkulus (karang gigi) yang hanya boleh dibuang menerusi pembersihan profesional (scaling).
- Risiko Periodontitis: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa keradangan yang dibiarkan boleh berkembang kepada penyakit periodontal yang lebih serius, sehingga merosakkan struktur tulang penyokong gigi.
“Floss bukan sekadar untuk mengeluarkan makanan yang tersangkut. Tujuan utamanya ialah membantu membersihkan plak pada kawasan antara gigi yang sukar dicapai oleh berus gigi.” — Dr. A’tikah U’zied, Doktor Gigi di Aesira Dental
Oleh itu, menguasai teknik floss yang betul amat penting untuk membuang plak secara berkesan di ruang interdental tanpa mencederakan gusi.

Cara Floss Gigi Yang Betul
Untuk floss biasa, teknik lebih penting daripada menggunakan tekanan yang kuat.
1. Ambil floss secukupnya
Gunakan benang yang cukup panjang supaya anda mempunyai bahagian bersih untuk setiap ruang antara gigi.
2. Masukkan perlahan-lahan di antara gigi
Gerakkan floss secara terkawal. Elakkan menghentaknya terus ke arah gusi kerana ini boleh mencederakan tisu gusi.
3. Bentukkan floss seperti huruf “C”
Peluk sisi satu batang gigi dengan floss sehingga benang mengikuti kontur gigi.
4. Gerakkan ke atas dan ke bawah
Bersihkan permukaan sisi gigi secara lembut hingga hampir ke bawah garis gusi. Kemudian ulang pada sisi gigi bersebelahan.
5. Gunakan bahagian floss yang bersih
Bergerak ke ruang gigi seterusnya dengan bahagian floss baharu.
6. Jangan lupa gigi paling belakang.
Permukaan belakang molar terakhir juga boleh mengumpulkan plak.
Pembersihan interdental boleh dilakukan sebelum atau selepas memberus gigi dan perkara yang lebih penting ialah ia dilakukan dengan teliti dan konsisten.

Kenapa Gusi Berdarah Semasa Floss?
Ramai orang berhenti floss apabila nampak darah. Namun, puncanya perlu dikenal pasti terlebih dahulu.
1. Keradangan gusi
Plak yang berkumpul berhampiran garis gusi boleh menyebabkan gingivitis. Tisu yang meradang lebih mudah berdarah apabila disentuh.
2. Teknik floss terlalu kasar
Menekan atau “menjentik” floss ke dalam gusi boleh menyebabkan trauma mekanikal.
3. Karang gigi sudah terbentuk
Plak yang telah mengeras menjadi kalkulus tidak boleh dibuang menggunakan floss atau berus gigi biasa. Pembersihan profesional mungkin diperlukan.
4. Rutin kebersihan mulut tidak konsisten
Kesibukan kerja, makan lewat malam, minuman manis yang kerap dan tidur tanpa membersihkan gigi boleh meningkatkan pendedahan gigi kepada plak dan gula. Ini kerana bakteria dalam plak menggunakan gula bebas dan menghasilkan asid yang boleh merosakkan struktur gigi dari masa ke masa.
5. Faktor kesihatan dan tabiat
Merokok, kawalan plak yang kurang baik dan keadaan kesihatan tertentu boleh mempengaruhi risiko penyakit periodontal. Penilaian doktor gigi diperlukan untuk menentukan faktor yang relevan bagi seseorang individu.
Apa Berlaku Jika Tidak Membersihkan Celah Gigi?
Kawasan yang tidak dicapai berus boleh menjadi tempat plak kekal.

Ini bukan sekadar isu kosmetik atau masalah penampilan. Data rasmi NOHSA 2020 menunjukkan bahawa 94.5% orang dewasa di Malaysia mempunyai gusi yang tidak sihat, manakala 85.1% mengalami masalah gigi berlubang.
Lebih membimbangkan, kajian NHMS 2019 mendapati kurang daripada separuh rakyat Malaysia mendapatkan rawatan pergigian. Ramai menganggap gusi berdarah perkara biasa, padahal ia tanda awal jangkitan yang boleh menyebabkan gigi longgar dan terpaksa dicabut jika dibiarkan.
Adakah Floss Benar-Benar Berkesan?
Ya, tetapi keberkesanannya bergantung pada keadaan anatomi gigi dan alat yang digunakan:
- Mengurangkan Keradangan Gusi: Menurut kajian sistematik Cochrane mendapati penggunaan floss bersama memberus gigi membantu mengurangkan gingivitis berbanding memberus sahaja.
- Bukan Penyelesaian Tunggal: Bukti saintifik menunjukkan floss membantu, tetapi ia tidak semestinya jaminan 100% untuk mencegah semua kaviti jika teknik yang digunakan tidak betul.
- Pilihan Alat Mengikut Anatomi: Garis panduan klinikal European Federation of Periodontology (EFP) mengutamakan penggunaan berus interdental (interdental brush) berbanding floss biasa bagi pesakit yang mempunyai ruang celah gigi yang lebih terbuka.
Pilihan Floss
Tiada satu alat yang sesuai untuk semua orang. Pilihan alat pembersihan interdental bergantung pada anatomi ruang gigi, keadaan gusi, dan kebolehan anda menggunakannya secara konsisten setiap hari.

Pengalaman Pesakit Di Aesira Dental
Di Aesira Dental, kami kerap bertemu pesakit yang berhenti menggunakan floss semata-mata kerana “gusi sentiasa berdarah setiap kali floss“. Hakikatnya, pendarahan gusi bukanlah alasan untuk berhenti, melainkan tanda amaran keradangan akibat pengumpulan plak atau kalkulus (karang gigi) yang perlu dinilai secara klinikal.
Pendekatan kami bukan sekadar mengesyorkan jenis floss baharu, tetapi mengenal pasti punca sebenar masalah tersebut melalui pemeriksaan menyeluruh. Langkah pengurusan dijalankan mengikut keperluan spesifik anda:
- Pemeriksaan Klinikal: Menilai keadaan gusi, kedalaman poket periodontal, kawasan pendarahan, dan tahap pengumpulan plak.
- Pendidikan Kebersihan Mulut (Oral Hygiene Instruction): Demonstrasi teknik memberus gigi dan pembersihan interdental yang betul.
- Pembersihan Profesional (Scaling): Membuang karang gigi yang mengeras yang tidak boleh dibersihkan dengan berus biasa.
- Rawatan Periodontal & Pemantauan: Rawatan khusus mengikut tahap kesihatan gusi berserta susulan berkala.
Pendidikan pesakit adalah teras utama di Aesira Dental. Sama ada penyesuaian rutin harian untuk orang dewasa mahupun pemeriksaan awal bagi kanak-kanak kecil, setiap pelan penjagaan dirangka khusus mengikut perkembangan dan keadaan gigi individu.

Soalan Lazim Tentang Floss Gigi
1. Perlu floss gigi setiap hari?
Ya, pembersihan antara gigi sekali sehari sangat digalakkan. Saranan memberus gigi dua kali sehari dan membersihkan antara gigi menggunakan floss atau alat interdental lain sekali sehari terutamanya pada waktu malam sebelum tidur.
2. Kenapa floss gigi berbau selepas digunakan?
Ia boleh berlaku apabila plak dan sisa makanan terkumpul di antara gigi. Jika bau berterusan bersama gusi berdarah, bengkak atau nafas berbau, dapatkan pemeriksaan pergigian.
3. Normal ke gusi berdarah ketika floss?
Pendarahan berulang tidak patut diabaikan. Ia boleh berkaitan dengan gingivitis, penyakit periodontal atau teknik floss yang traumatik. Pemeriksaan diperlukan jika ia berterusan.
4. Floss sebelum atau selepas berus gigi?
Kedua-duanya boleh dilakukan. Namun ramai doktor gigi mencadangkan floss dahulu untuk melonggarkan sisa makanan, diikuti berus gigi untuk membersihkan bakteria yang tertinggal.
5. Water flosser boleh ganti dental floss?
Bergantung pada keadaan gigi dan gusi anda. Water flosser ialah salah satu alat pembersihan interdental. Bagi sesetengah keadaan, interdental brush atau floss mungkin lebih sesuai. Doktor gigi boleh mencadangkan alat berdasarkan anatomi ruang antara gigi dan status periodontal.
Bila Perlu Jumpa Doktor Gigi?
Jangan tunggu sehingga gigi sakit. Buat pemeriksaan jika anda mengalami gusi yang kerap berdarah, gusi bengkak, nafas berbau berterusan, gusi semakin menyusut, gigi terasa longgar, sakit ketika mengunyah atau pengumpulan karang gigi yang ketara.
Ini tanda wajar yang perlu disemak bukan ditangguhkan lagi.
Pemeriksaan lebih awal membolehkan doktor mengenal pasti sama ada pendarahan berpunca daripada teknik floss, gingivitis, kalkulus atau penyakit periodontal yang memerlukan rawatan lanjut. Selepas rawatan dan pembersihan profesional (scaling), pesakit akan menikmati:
- Gigi bersih dan rasa segar
- Mulut yang sihat dan bebas jangkitan
- Rutin kebersihan oral harian yang lebih berkesan
Kesimpulan
Floss gigi membantu membersihkan kawasan antara gigi yang tidak mudah dicapai oleh berus gigi. Ia paling bermanfaat apabila menjadi sebahagian daripada rutin yang turut merangkumi memberus dengan teknik yang betul, penggunaan ubat gigi berfluorida dan pemeriksaan pergigian berdasarkan keperluan individu.
Jika floss menyebabkan gusi anda berdarah berulang kali, jangan sekadar berhenti menggunakannya atau menganggap ia normal. Puncanya perlu dikenal pasti.
Di Aesira Dental, doktor gigi boleh menilai keadaan gigi dan gusi serta mencadangkan teknik pembersihan interdental dan rawatan yang sesuai berdasarkan pemeriksaan klinikal.
Rujukan
- Kementerian Kesihatan Malaysia, National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2020: National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 – Fact Sheet, diterbitkan 2024. Akses: https://hq.moh.gov.my/ohp/index.php/doclink/lembaran-fakta-nohsa-2020/eyJ0eXAiOiJKV1QiLCJhbGciOiJIUzI1NiJ9.eyJzdWIiOiJsZW1iYXJhbi1mYWt0YS1ub2hzYS0yMDIwIiwiaWF0IjoxNzA5ODAxMTE2LCJleHAiOjE3MDk4ODc1MTZ9.54yvBlNqp2btyENazWgUZfL9driZNRBUiyfalEQDmdw
- Kementerian Kesihatan Malaysia, National Oral Health Strategic Plan 2022–2030 – Periodontal Disease, dikemas kini 2025. Akses: https://www.moh.gov.my/images/04-penerbitan/pelan-strategik/NOHS-PLAN-22-30-eISBN-Fasa2_compressed.pdf
- World Health Organization, Oral Health, 17-03-2025. Akses: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/oral-health
- Cochrane Oral Health, Worthington HV et al., Home use of devices for cleaning between the teeth (in addition to toothbrushing) to prevent and control gum diseases and tooth decay, 10-04-2019. Akses: https://www.cochrane.org/evidence/CD012018/home-use-devices-cleaning-between-teeth-addition-toothbrushing-prevent-and-control-gum-diseases-and
- Journal of Clinical Periodontology, Sanz M et al., Treatment of stage I–III periodontitis—The EFP S3 level clinical practice guideline, 2020. Akses: https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/32383274/
- BMC Oral Health, Tan YR, Jawahir S, Doss JG, Oral healthcare seeking behavior of Malaysian adults in urban and rural areas: findings from the National Health and Morbidity Survey 2019, 05-10-2023. Akses: https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC10552245/
- Astro Awani, Masalah gigi rakyat Malaysia membimbangkan, 27-04-2023. Akses: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/masalah-gigi-rakyat-malaysia-membimbangkan-417078
Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan informasi dan bukan alternatif prosedur sebenar. Sila buat diagnosis dari doktor gigi sebenar yang sah & berdaftar untuk masalah gigi & oral anda.
Artikel ini telah disahkan secara klinikal dan ditulis oleh :
Bachelor of Dental Surgery (BDS), Mansoura University, Egypt. Dr. A’tikah U’zied merupakan Pengasas & Doktor Gigi Utama di Klinik Pergigian Aesira. Beliau merupakan doktor gigi yang sah di bawah Malaysian Dental Council (MDC) dengan nombor (No. 13130)
