Punca, Simptom & Rawatan Gusi Bengkak (Perkongsian Doktor)
- Gusi bengkak ialah tanda keradangan gusi.
- Berpunca dari plak bakteria & karang gigi yang tidak dibersihkan
- Kenal pasti simptom seperti gusi mudah berdarah sebelum berlarutan
- Rawatan scaling dan penjagaan kebersihan mulut di rumah diutamakan
- Dapatkan pemeriksaan berkala untuk pastikan kesihatan oral berpanjangan
Anda memberus gigi pagi tadi dan nampak darah di sinki. Bila ditekan dengan lidah, gusi terasa lembut dan membengkak. Ramai yang terus berkumur air garam, tukar ubat gigi “gusi sensitif”, dan berharap ia hilang sendiri.
Gusi bengkak memang kadang-kadang reda buat sementara. Tetapi jika puncanya plak dan karang gigi, keradangan itu biasanya kembali, dan secara senyap ia boleh merosakkan tisu serta tulang yang memegang gigi.
Kenapa Gusi Bengkak?
Dalam kebanyakan kes, gusi bengkak berpunca daripada plak bakteria yang terkumpul di garisan gusi. Badan bertindak balas dengan keradangan, jadi gusi menjadi merah, bengkak dan mudah berdarah.
“Gusi yang berdarah ketika memberus bukan tanda anda berus terlalu kuat. Biasanya ia tanda gusi sedang meradang. Semakin awal ia dirawat, semakin mudah gusi kembali sihat.” — Dr. A’tikah binti U’zied, Doktor Gigi Aesira Dental
Cabarannya, penyakit gusi selalunya tidak sakit di peringkat awal, jadi ramai hanya datang apabila gigi sudah mula goyang.

Memahami Gusi Bengkak
Gusi bengkak ialah keadaan apabila tisu gusi menjadi lebih besar, merah, sensitif atau mudah berdarah. Ia bukan satu penyakit khusus, tetapi simptom yang boleh berlaku akibat beberapa masalah pergigian.
Salah satu punca paling biasa ialah pengumpulan plak bakteria di sepanjang garis gusi. Jika plak tidak dibersihkan dengan baik, ia boleh mengalami mineralisasi dan menjadi karang gigi atau kalkulus
Dalam penyakit gusi berkaitan plak, dua keadaan penting yang perlu difahami ialah:
- Gingivitis (gusi merah/berdarah): keradangan hanya pada gusi. Ia boleh berbalik jika plak dibuang dan kebersihan mulut diperbaiki.
- Periodontitis (poket gusi dalam & tulang terhakis): keradangan merebak ke tulang dan ligamen penyokong gigi, dan poket terbentuk di antara gigi dan gusi. Kerosakan tulang biasanya tidak kembali seperti asal, tetapi perkembangannya boleh dikawal.
Namun,tidak semua gusi bengkak berpunca daripada penyakit gusi. Bengkak pada satu kawasan juga boleh berlaku akibat abses, makanan tersangkut, jangkitan akar gigi atau masalah gigi bongsu. Sebab itu, gusi bengkak yang berulang, sakit atau bernanah perlu diperiksa oleh doktor gigi untuk mengenal pasti punca sebenar.

Punca Gusi Bengkak
1. Rutin Harian
Punca paling biasa ialah dental biofilm atau plak. Jika bahagian sepanjang garis gusi dan celah gigi sering terlepas ketika memberus terlalu laju atau tidak menggunakan floss jadi bakteria lebih mudah berkumpul.
Apabila kawasan ini terlepas daripada pembersihan, bakteria akan membiak dengan pantas, membebaskan gas berbau, dan mencetuskan keradangan gusi.
2. Gaya Hidup
Kebersihan oral yang lemah dan penggunaan tembakau sebagai antara faktor utama penyakit periodontal. Selain itu jadual kerja yang padat juga boleh menyebabkan pemeriksaan rutin ditangguhkan sehingga sakit atau bengkak muncul.
3. Diet Harian
Pengambilan makanan dan minuman manis secara berlebihan merupakan antara punca utama keradangan gusi. Sisa gula menjadi “makanan” kepada bakteria mulut untuk membentuk atau plak.
4. Persekitaran Mulut
Braces, gigi bertindih, margin tampalan tertentu atau kawasan yang sukar dicapai boleh menjadi tempat plak lebih mudah berkumpul.
5. Hormon & Genetik
Perubahan hormon boleh meningkatkan respons keradangan pada individu yang sudah mempunyai gingivitis. Faktor genetik pula boleh mempengaruhi kerentanan seseorang terhadap penyakit periodontal.

Apa Akan Berlaku Jika Gusi Bengkak Dibiarkan?
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa (NOHSA) 2020 menunjukkan 94.5% orang dewasa Malaysia mempunyai gusi yang tidak sihat, dan 38.2% mempunyai poket periodontal. Ditambah pula ramai orang dewasa yang mempunyai masalah gigi tidak mendapatkan rawatan profesional.
Jadi, jika keradangan dan gusi bengkak tanpa rawatan profesional boleh terdedah kepada komplikasi kesihatan oral yang serius.
Simptom Gusi Bengkak
Berikut adalah simptom gusi bengkak mengikut berdasarkan:
Tanda Awal
-
Rasa Pahit / Tidak Sedap di Mulut: Menunjukkan kehadiran biofilm bakteria aktif, plak, atau masalah pengeluaran air liur.
-
Makanan Sering Tersangkut di Celah Gigi: Menandakan kehadiran kaviti/lubang gigi, gusi menyusut, atau tiada amalan penggunaan flos gigi (flossing).
-
Gusi Mudah Berdarah: Petanda utama keradangan gusi awal (gingivitis) akibat plak bakteria di garisan gusi.
Tanda Serius (Perlu Rawatan Segera)
-
Karang Gigi (Kalkulus) Kekuningan / Kecoklatan: Plak mengeras yang tidak lagi boleh dibersihkan dengan berus biasa, memegang bakteria dan menjadi punca utama bau mulut.
-
Gigi Sensitif / Ngilu: Menandakan kerosakan enamel, karies/lubang yang mula mendekati lapisan dentin/saraf, atau pendedahan akar gigi.
-
Gusi Meresut / Gigi Nampak Panjang: Isyarat penyakit gusi kronik (periodontitis) di mana tulang penyokong gigi telah terhakis.
-
Lidah Bersalut Putih / Kuning: Pengumpulan sel mati dan bakteria di permukaan lidah yang menghasilkan gas sulfur berbau busuk.
-
Mulut Kering (Xerostomia): Kekurangan aliran air liur yang mengurangkan pembilasan semula jadi, menyebabkan pembiakan bakteria meningkat berganda.

Bagaimana Gusi Bengkak Dirawat?
Rawatan bergantung pada diagnosis.
1. Pemeriksaan Gigi & Gusi
Doktor akan melihat lokasi bengkak, pendarahan, plak, karang gigi, keadaan gigi dan mungkin mengukur poket periodontal. X-ray boleh diperlukan jika doktor mengesyaki kehilangan tulang, jangkitan akar atau masalah lain yang tidak dapat dilihat secara terus.
2. Scaling & Polishing (Cuci Gigi)
Jika bengkak berkaitan plak dan karang gigi, scaling digunakan untuk menanggalkan deposit yang tidak boleh dibersihkan dengan berus biasa. Di Aesira Dental, prosedur yang diterbitkan merangkumi pemeriksaan gigi dan gusi, scaling/polishing serta nasihat penjagaan gusi.
3. Deep Scaling / Rawatan Periodontal
Jika terdapat periodontitis (penyakit gusi kronik), pembersihan subgingival (subgingival instrumentation) dilakukan di bawah garisan gusi untuk meredakan radang dan mengecilkan poket gusi.
4. Rawatan Abses atau Jangkitan Gigi
Jika gusi bernanah (abses), rawatan terus seperti mengeluarkan nanah (drainage), rawatan akar, atau cabutan dilakukan. Rawatan akar gigi ialah prosedur merawat bahagian dalam gigi yang mengalami jangkitan atau kerosakan saraf, dengan membersihkan kawasan tersebut dan menutupnya semula, bagi mengelakkan keperluan mencabut gigi.
Bacaan rawatan akar dan rawatan cabut gigi
Antibiotik bukan pengganti rawatan punca. Panduan American Dental Association (ADA) mengesyorkan rawatan pergigian secara langsung bagi kebanyakan kes sakit dan bengkak pulpa/periapikal yang setempat; antibiotik biasanya dipertimbangkan apabila terdapat penglibatan sistemik seperti demam atau malaise.
5. Rawatan sokongan berkala
Saringan dan pemeriksaan semula gusi disyorkan secara berkala setiap 2 hingga 6 bulan bagi memastikan gusi kekal sihat dan mengelakkan keradangan berulang.

Pengalaman Kami di Aesira Dental
Daripada pemerhatian klinikal umum, ramai pesakit terkejut apabila gusi mereka berhenti berdarah dalam beberapa minggu selepas scaling. Gusi berdarah yang selama ini disangka “normal”. Pesakit yang datang ketika masih di peringkat gingivitis biasanya memerlukan rawatan yang lebih ringkas berbanding mereka yang datang selepas gigi mula goyang.
Sebagai klinik yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 9 malam dan dipercayai oleh lebih 600+ ulasan 5 bintang di sekitar Kajang dan Bangi, kami telah melihat pelbagai kisah transformasi.
- Pesakit yang dahulunya pendiam mempunyai masalah gusi bengkak berubah menjadi sangat peramah dan ceria selepas gusi mereka kembali sihat dan bersih.
- Kami mengamalkan polisi “Tanpa Sakit, Tanpa Takut” dengan pendekatan yang lembut supaya rawatan pembersihan gusi (scaling) dijalankan secara selesa dan bebas trauma.
- Kami menyediakan pemeriksaan mesra bayi seawal usia 6 bulan bagi memupuk tabiat kebersihan oral serta kesihatan gusi dari peringkat awal lagi.

Soalan Lazim Tentang Gusi Bengkak
1. Gusi bengkak boleh sembuh sendiri?
Jarang, jika puncanya karang gigi. Simptom mungkin reda sementara, tetapi keradangan biasanya kembali selagi karang gigi tidak dibuang.
2. Gusi bengkak dan berdarah bila gosok gigi normal ke?
Tidak sepatutnya dianggap normal. Pendarahan ketika memberus sering menjadi tanda keradangan gingiva (radang pada tisu gusi).
3. Berkumur air garam membantu hilang gusi bengkak?
Boleh membantu melegakan sementara. Tapi ia tidak membuang plak atau karang gigi.
4. Boleh ambil antibiotik sendiri untuk hilangkan gusi bengkak?
Tidak digalakkan. Antibiotik tidak membuang punca masalah, dan penggunaan tanpa diagnosis boleh menyumbang kepada rintangan antibiotik keadaan di mana kuman bakteria menjadi kebal dan tidak lagi boleh dibunuh atau dihentikan oleh ubat antibiotik .
5. Berapa kerap perlu buat scaling?
Biasanya setiap 6 bulan hingga setahun, atau lebih kerap jika anda mempunyai penyakit gusi, diabetes atau merokok.
Bila Perlu Jumpa Doktor Gigi?
Dapatkan rawatan segera jika anda mengalami:
- Gigi terasa goyang atau gigitan berubah;
- Benjolan bernanah atau sakit berdenyut pada gusi;
- Bengkak merebak ke pipi atau rahang & disertai demam; atau
- Gusi berdarah setiap kali memberus lebih daripada seminggu.
Bengkak yang merebak ke muka, sukar menelan atau demam memerlukan rawatan kecemasan dengan segera. Pada peringkat gingivitis, keradangan biasanya boleh berbalik, tetapi tulang yang telah hilang akibat periodontitis sukar dipulihkan.
Selepas rawatan, pesakit boleh jangkakan: gusi yang kurang berdarah, nafas lebih segar, dan risiko kehilangan gigi yang lebih rendah dengan penjagaan berkala.
Kesimpulan
Gusi bengkak ialah isyarat awal bahawa gusi anda memerlukan perhatian. Dengan diagnosis yang tepat, pembersihan profesional dan rutin kebersihan yang konsisten, kebanyakan kes boleh dikawal sebelum menjadi lebih serius.
Dapatkan pemeriksaan kesihatan gigi dengan pasukan doktor berpengalaman, pelan rawatan peribadi dan pilihan kos berpatutan.
Rujukan
- Journal of Clinical Periodontology, Treatment of stage I–III periodontitis: The EFP S3 level clinical practice guideline, 07-2020. Akses: https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/32383274/
- Kementerian Kesihatan Malaysia (Program Kesihatan Pergigian), Standard Operating Procedure: Management of Periodontal Conditions in Primary Oral Healthcare Clinics, 2017. Akses: https://hq.moh.gov.my/ohp/images/pdf/xtvtnsop/Management-of-Periodontal-Conditions-in-Primary-Oral-Healthcare-Clinics.pdf
- Kementerian Kesihatan Malaysia, Clinical Practice Guidelines: Treatment of Periodontal Abscess (2nd Edition), 2021. Akses: https://www.moh.gov.my/images/04-penerbitan/penerbitan-klinikal/panduan-amalan-klinikal/Treatment%20of%20Periodontal%20Abscess%202nd%20Edition.pdf
- Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia, NHMS 2020: National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 – Key Findings, 2023. Akses:https://hq.moh.gov.my/ohp/index.php/doclink/lembaran-fakta-nohsa-2020/eyJ0eXAiOiJKV1QiLCJhbGciOiJIUzI1NiJ9.eyJzdWIiOiJsZW1iYXJhbi1mYWt0YS1ub2hzYS0yMDIwIiwiaWF0IjoxNzA5ODAxMTE2LCJleHAiOjE3MDk4ODc1MTZ9.54yvBlNqp2btyENazWgUZfL9driZNRBUiyfalEQDmdw
- Cureus/PMC, The Oral Health Status of Adults With Special Healthcare Needs: A Hospital-Based Study and Comparative Analysis With National Data (data NOHSA 2020), 26-07-2025. Akses: https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC12376220/
- American Dental Association (ADA), Evidence-based clinical practice guideline on antibiotic use for the urgent management of pulpal- and periapical-related dental pain and intraoral swelling, 01-November-2019. Akses: https://www.ada.org/resources/research/science-and-research-institute/evidence-based-dental-research/antibiotic-use-for-dental-pain-and-swelling
- BMC Oral Health/PMC, Oral healthcare seeking behavior of Malaysian adults in urban and rural areas: findings from the National Health and Morbidity Survey 2019, 05-10-2023. Akses: https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC10552245/
- The Star, Poor dental hygiene a growing issue among children, say experts, 11-12-2025. Akses: https://www.thestar.com.my/news/nation/2025/12/11/poor-dental-hygiene-a-growing-issue-among-children-say-experts
Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan informasi dan bukan alternatif prosedur sebenar. Sila buat diagnosis dari doktor gigi sebenar yang sah & berdaftar untuk masalah gigi & oral anda.
Artikel ini telah disahkan secara klinikal dan ditulis oleh :
Bachelor of Dental Surgery (BDS), Mansoura University, Egypt. Dr. A’tikah U’zied merupakan Pengasas & Doktor Gigi Utama di Klinik Pergigian Aesira. Beliau merupakan doktor gigi yang sah di bawah Malaysian Dental Council (MDC) dengan nombor (No. 13130)
